Indonesia turut tarik diri daripada Piala Thomas/Uber 2020

KUALA LUMPUR,. Indonesia menjadi pasukan terbaru untuk menarik diri daripada saingan Piala Thomas/Uber 2020 yang dijadualkan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 3-11 Okt ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) Achmad Budiharto berkata keputusan itu dibuat berikutan tiga alasan utama termasuk kekhuatiran pemain dengan risiko jangkitan COVID-19 ketika perjalanan, tempat transit atau venue kejohanan.

Menerusi pengumuman yang dibuat di laman web PBSI, beliau berkata pemain dan pegawai turut menyuarakan kebimbangan untuk menyertai kejohanan itu kerana tiada jaminan daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sekiranya ahli pasukan dijangkiti wabak itu.

“Pasukan Indonesia menarik diri daripada Piala Thomas dan Uber 2020. Kami sudah mengirim surat ke Menpora (Menteri Pemuda dan Olahraga) dan akan segera mengirim pernyataan bertulis ke BWF mengenai hal ini,” katanya malam tadi.

Beliau turut mengesahkan bahawa pemain Indonesia tidak akan menyertai kejohanan Terbuka Denmark I dan Terbuka Denmark II yang dijadualkan selepas kejohanan berprestij itu.

Selain Indonesia, empat lagi pasukan, iaitu Australia, Taiwan, Thailand dan Korea Selatan mengumumkan akan tarik diri daripada kejohanan berpasukan itu kerana kebimbangan COVID-19.

Untuk rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, England dan Belanda dalam saingan Piala Thomas manakala dalam saingan Piala Uber, Malaysia turut disenaraikan bersama Indonesia, selain Korea Selatan dan Australia dalam Kumpulan B.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam berkata pihaknya sedang mengikuti rapat keputusan penyertaan negara lain dan akan mengkaji penyertaan pasukan negara dalam masa terdekat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )