Industri insurans, takaful luaskan kelayakan bayaran balik dari tabung saringan COVID-19

Industri insurans, takaful luaskan kelayakan bayaran balik dari tabung saringan COVID-19

KUALA LUMPUR, 11 April  — Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) memperluas kelayakan pembayaran balik untuk mendorong lebih ramai pemegang polisi insurans/sijil takaful menjalani ujian saringan COVID-19.

Semua persatuan itu menerusi kenyataan bersama hari ini berkata mengikut kelayakan yang disemak semula itu, pemegang polisi/sijil boleh membuat tuntutan kepada Tabung Saringan COVID-19 (CTF) jika mereka:

a. mengalami jangkitan pernafasan akut (serangan tiba-tiba bagi jangkitan pernafasan dengan sekurang-kurangnya satu: kesesakan bernafas, batuk atau sakit tekak) berserta demam atau tidak, atau

b. dianggap sebagai Orang yang Disiasat (PUI) seperti ditakrifkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), atau

c. mempunyai hubungan dengan kes positif COVID-19 (takrifan KKM), dan dirujuk oleh doktor (berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia).

Mereka berkata tabung RM8 juta yang ditubuhkan oleh industri insurans dan takaful itu bertujuan menyokong usaha KKM dalam mengendalikan lebih banyak ujian saringan COVID-19 untuk rakyat Malaysia.

LIAM menerajui usaha itu dengan sumbangan RM5 juta manakala PIAM dan MTA masing-masing pada RM2 bilion dan RM1 bilion.

“Industri insurans dan takaful mahu menyokong hampir 27,000 ujian COVID-19 lagi bagi mereka yang layak melalui inisiatif ini, serta seiring dengan objektif kerajaan untuk meningkatkan ujian dalam kalangan rakyat,” kata ketiga-tiga persatuan itu dalam kenyataan kepada Bernama.

Laman web CTF di www.MyCTF.my hari ini dan seterusnya terbuka bagi penyerahan tuntutan secara langsung. Pengguna boleh mengemukakan borang tuntutan mereka berserta dokumen sokongan melalui portal itu untuk pembayaran balik secara dalam talian.

Presiden LIAM, Loh Guat Lan berkata industri itu komited untuk memastikan lebih ramai mendapat manfaat daripada CTF yang beroperasi sepenuhnya untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

“Selain itu, pelbagai langkah bantuan telah ditawarkan oleh syarikat insurans hayat masing-masing untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas oleh COVID-19. Marilah kita terus berkhidmat untuk negara kita yang tercinta dan mengharungi cabaran ini bersama-sama sebagai sebuah negara,” katanya.

Pengerusi PIAM, Antony Lee pula berkata keutamaan segera adalah untuk mengekang komuniti daripada menyebarkan virus itu dan ia nenjadi fokus tabung industri ini buat masa sekarang.

Sementara itu, Pengerusi MTA, Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata “kita semua harungi ini bersama-sama dan inilah perpaduan kita dalam memutuskan rantaian wabak ini.”

Layari www.MyCTF.my atau hubungi talian penting MyCTF di 15500/1-300-22-11-88 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai CTF.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )