Industri komunikasi dan multimedia 2021 kekal kompetitif

Industri komunikasi dan multimedia 2021 kekal kompetitif

KUALA LUMPUR,. Industri Komunikasi dan Multimedia (C&M) menyumbang 8.2 peratus iaitu RM1,789.2 bilion daripada jumlah keseluruhan permodalan pasaran Bursa Malaysia pada 2021, peningkatan sebanyak 2.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata Laporan Prestasi Industri (IPR) 2021 yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) baru-baru ini mendapati sektor C&M kekal kompetitif sepanjang tahun lepas meskipun berdepan impak pandemik COVID-19.

“Daripada aspek kewangan, hasil industri C&M memperlihat peningkatan sebanyak 3.7 peratus kepada RM48.25 bilion pada 2021 berbanding RM46.52 bilion tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini dipacu oleh pembukaan semula ekonomi dan program rangsangan yang dilaksanakan oleh kerajaan,” menurutnya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook semalam.

Beliau berkata meskipun berdepan cabaran getir akibat pandemik COVID-19, sektor telekomunikasi negara berjaya menangkis impak pandemik didorong oleh peningkatan permintaan untuk ketersambungan serta kebergantungan orang ramai dan perniagaan terhadap perkhidmatan komunikasi.

Beliau berkata melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), infrastruktur jalur lebar negara telah ditambah baik bagi menyediakan perkhidmatan di semua kawasan berpenduduk sekali gus mendorong pelanggan untuk menikmati manfaat daripada perkhidmatan jalur lebar.

Annuar berkata justeru, permintaan yang lebih tinggi untuk kedua-dua perkhidmatan jalur lebar mudah alih dan tetap telah menyumbang kepada keseluruhan peningkatan langganan jalur lebar sebanyak 8.4 peratus kepada 45.75 juta pada 2021 berbanding 42.19 juta pada 2020.

“Sementara itu, ketersediaan perkhidmatan penstriman terus memberi tekanan kepada sektor penyiaran negara justeru mengakibatkan penguncupan hasil sektor tersebut sebanyak 1.9 peratus kepada RM5.28 bilion berbanding dengan RM5.38 bilion pada 2020.

“Pada 2021, dua saluran baharu telah diperkenal di MyFreeView, iaitu TV6 oleh RTM dan TV Sarawak oleh Kumpulan Media Sarawak,” katanya.

Beliau juga berkata sepanjang pandemik, sektor pos dan kurier terus beroperasi dalam suasana pasaran yang kompetitif meskipun terdapat lonjakan dalam permintaan e-dagang dan jumlah bungkusan.

“Hasil sektor pos dan kurier negara susut sebanyak 4.7 peratus kepada RM2.66 bilion berbanding RM2.79 bilion pada tahun sebelumnya.

“Pada 2021, penghantaran bungkusan per kapita Malaysia mencecah 23.5 iaitu peningkatan daripada 14.1 bungkusan yang dicatatkan pada 2020.

“Sektor e-dagang turut menyaksikan kadar pertumbuhan yang memberangsangkan. Bagi 2021, jumlah perbelanjaan keseluruhan untuk e-dagang meningkat sebanyak 10.7 peratus kepada RM28.5 bilion berbanding RM25.7 bilion pada 2020,” katanya.

Annuar juga berkata jumlah transaksi e-pembayaran terus mencatat pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 30 peratus kepada 7.2 bilion transaksi pada 2021.

Beliau berkata melangkah ke 2022, kadar penggunaan teknologi digital dijangka kekal tinggi dan beralih kepada penggunaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Secure Access Service Edge (SASE), multi-cloud dan pengkomputeran pinggir (Edge Computing).

Katanya tumpuan akan turut terarah kepada kolaborasi industri bagi memanfaatkan kemunculan teknologi baharu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )