Industri pelancongan pulih lebih awal, rakyat patuh SOP antara faktor – Nancy

Industri pelancongan pulih lebih awal, rakyat patuh SOP antara faktor – Nancy

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri melahirkan rasa ‘terkejut’ melihat sektor pelancongan tempatan semakin pulih berbanding jangkaan.

Menurutnya, secara peribadi beliau menjangkakan sektor pelancongan domestik hanya akan kembali bangkit dalam bulan Disember ini, namun sebaliknya ia berlaku lebih awal.

Tambah beliau, antara faktor utama kejayaan itu adalah Malaysia mempunyai rakyat yang benar-benar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Itu adalah antara jaminan yang kita memberanikan diri untuk bergerak di mana saja dan sama-samalah kita mainkan peranan untuk mempertahankan SOP kita.
“Ini supaya kita merasa yakin untuk pergi melancong di tempat dalam negara kita, jadi kitalah yang akan jadi contoh kepada orang ramai dan negara luar supaya mereka pun berasa nak cepat pergi ke Malaysia.

“Ia juga boleh bantu giatkan eko pelancongan domestik dan bantu mereka yang terkesan oleh industri ini.
“Jadi sama-sama kita mainkan peranan,” katanya dalam sidang media ketika melakukan lawatan kerja sekitar Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batang Sadong itu menjelaskan kekeliruan berhubung kenyataannya dalam Dewan Rakyat baru-baru ini yang mengatakan pelancongan domestik semakin pulih dan merekodkan antara 70 ke 100 peratus kadar penginapan.

Kenyataan itu kemudiannya disanggah Ketua Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng yang menegaskan secara keseluruhannya pemulihan sektor pelancongan berada di tahap 21 peratus sahaja.

Tegas Nancy, peratusan tinggi yang beliau maksudkan adalah melibatkan sebahagian hotel misalnya di tepi pantai yang mempunyai tarikan tersendiri. “Ada yang salah faham di Parlimen, 70 hingga 100 peratus itu hotel-hotel yang mempunyai daya tarikan sendiri… boleh pergi sendiri tengok.

“Kita harap ini akan jadi satu trend dalam negara sebab ia akan membantu pengusaha-pengusaha kita dan mereka yang bekerja di hotel. “Biarlah aura positif ini sentiasa ada di kalangan masyarakat kita agar kita dapat bantu mereka tingkatkan ekonomi,” ujarnya.

-Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)