Industri penerbangan dijangka kerugian sebanyak RM360 bilion tahun ini – IATA

Industri penerbangan dijangka kerugian sebanyak RM360 bilion tahun ini – IATA

KUALA LUMPUR,. Syarikat penerbangan dijangka mengalami kerugian sebanyak US$84.3 bilion (RM360 bilion) tahun ini dengan margin keuntungan bersih merosot kepada -20.1 peratus, manaka perolehannya akan turun kepada sebanyak US$419 bilion (RM1.8 trilion), kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Bagi tahun depan pula, IATA berkata kerugian dijangka turun kepada US$15.8 bilion (RM67.5 bilion) dengan perolehan meningkat kepada US$ 598 bilion (RM2.6 trilion).

“Dari segi kewangan, tahun 2020 akan menjadi tahun terburuk dalam sejarah penerbangan. Secara purata, pada setiap hari tahun ini sebanyak US$230 juta (RM982.3 juta) kerugian ditanggung industri tersebut. Secara keseluruhan, ia adalah kerugian US 84.3 bilion.

“Ini bermakna berdasarkan anggaran 2.2 bilion penumpang tahun ini, syarikat penerbangan akan kehilangan US$37.54 (RM160.33) bagi setiap penumpang. Itulah sebabnya bantuan kewangan oleh kerajaan adalah sangat penting kerana syarikat penerbangan mengalami kerugian,” kata Ketua Pengarah dan ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac dalam satu kenyataan.

Semua rantau diunjurkan akan mencatat kerugian tahun ini, Asia Pasifik mencatat kerugian bersih tertinggi iaitu sebanyak US$29 bilion.

Beliau berkata kemerosotan tersebut mungkin akan berakhir kecuali tidak muncul gelombang kedua penularan COVID-19.

Perkara penting untuk pemulihan itu adalah pelaksanaan memulakan semula langkah-langkah yang dipersetujui dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi memastikan penumpang dan kru penerbangan selamat.

De Juniac berkata pengesanan kontak yang berkesan juga dapat memberi keyakinan kepada kerajaan untuk membuka pintu sempadan tanpa perlu melaksanakan langkah kuarantin.

“Ia bahagian penting dalam pemulihan ekonomi kerana kira-kira 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia adalah daripada pelancongan dan sebahagian besarnya bergantung pada perjalanan udara. Pemacu utama ekonomi adalah bagi menggalakkan orang ramai melakukan perjalanan udara semula dengan selamat.

Bagaimanapun, beliau berkata industri penerbangan dijangka akan pulih dalam tempoh yang lama dan ia sangat mencabar kerana faktor paras hutang, kecekapan operasi, kemelesetan ekonomi dan keyakinan.

“Orang ramai akan mahu melakukan perjalanan udara semula dengan syarat mereka mempunyai keyakinan terhadap keadaan kewangan peribadi mereka dan langkah-langkah yang diambil untuk menjaga keselamatan pengembara.

“Tiada jalan penyelesaian yang berkesan untuk pulih akibat daripada penularan COVID-19 tetapi rancangan ICAO menggariskan keharmonian global. Penting bagi industri dan kerajaan mengikutinya agar pengembara mendapat jaminan secara maksimum mengenai keselamatan mereka,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )