Industri pertahanan bakal pacu ekonomi negara – Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR,. Malaysia berhasrat mewujudkan industri pertahanan yang berdikari dan berdaya saing, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menerusi Kertas Putih Pertahanan yang akan diterbitkan tidak lama lagi.
Jelasnya, Kertas Putih Pertahanan juga bakal melonjakkan industri pertahanan negara sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negara.
Jelas Mohamad, industri pertahanan bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, tetapi juga berupaya meningkatkan keupayaan negara dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains teknologi pertahanan.
Mohamad pada masa sama menegaskan Kertas Putih Pertahanan yang merupakan sebuah dokumen awam tidak akan membocorkan sebarang rahsia pertahanan negara.
Sebaliknya ia berupaya membina keyakinan dan meningkatkan kepercayaan keselamatan dalam kalangan negara serantau dan luar negara, lantas mengurangkan kebarangkalian berlakunya konflik antara negara.
Selain itu ia juga penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap tugas dan tanggungjawab anggota tentera.
“Kertas putih ini adalah panduan umum supaya rakyat memahami maksud pertahanan negara supaya tiada rakyat berkata tentera hanya makan dan tidur, sedangkan pertahanan negara itu adalah ‘the whole of society’ dan ‘the whole of government’, rakyat dan agensi terlibat.
Kertas Putih Pertahanan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada November atau awal Disember ini selepas mendapat persetujuan Kabinet.
Ia menggariskan perancangan rapi berkaitan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk tempoh 10 tahun bermula 2021 yang merangkumi rancangan malaysia ke-12 (RMK-12) dan RMK13.
Negara-negara lain yang sudahpun menerbitkan kertas putih pertahanan ialah seperti Australia, New Zealand, Jepun, China, Perancis, Jerman dan Brunei.