Industri runcit catat serangan siber tertinggi di Asia Pasifik – Kaspersky

Industri runcit catat serangan siber tertinggi di Asia Pasifik – Kaspersky

KUALA LUMPUR,. Industri peruncitan merekodkan jumlah serangan siber tertinggi di rantau Asia Pasifik sejak 24 bulan lepas, kata firma keselamatan global Kaspersky.

Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata dapatan kaji selidik terkininya menunjukkan faktor kekurangan agihan peruntukan keselamatan siber menyumbang kepada 19 peratus firma-firma Asia menjadi sasaran serangan siber.

“Organisasi runcit mencatatkan jumlah pencerobohan siber yang tinggi berikutan kekurangan peruntukan (37 peratus) dan diikuti oleh syarikat-syarikat telekomunikasi (33 peratus) manakala sektor infrastruktur kritikal serta minyak dan gas (23 peratus),” katanya.

Kaspersky menyifatkan industri perkhidmatan kewangan sebagai paling berjaya dari segi pengagihan peruntukan sewajarnya bagi tujuan keselamatan siber di rantau Asia Pasifik.

Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik Adrian Hia berkata pasaran e-dagang di rantau itu dijangka bernilai US$2 trilion (US$1=RM4.66) menjelang akhir 2023.

“Peruncitan menjadi industri paling banyak mencatat insiden siber berikutan penjenayah siber yang menyusuri jejak wang.

“Syarikat-syarikat ini adalah sebahagian daripada pergerakan pendigitalan lebih besar di rantau ini dan mempunyai maklumat data yang besar, khususnya kewangan,” katanya.

Sehubungan itu, Hia menggesa semua industri di rantau ini, terutama yang mengendalikan maklumat penting untuk menyediakan peruntukan keselamatan siber lebih baik bagi memastikan jaminan keselamatan perniagaan mereka selain data sensitif pelanggan masing-masing.

Dalam kaji selidik itu, Kaspersky menemubual 234 responden bagi mendapatkan pandangan maklumat profesional keselamatan teknologi mengenai impak terhadap keselamatan siber di sesebuah syarikat.

Laporan penuh kajian di laman sesawang https://www.kaspersky.com/blog/human-factor-360-report-2023/.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)