Industri tanaman durian Johor tunjuk perkembangan positif
ISKANDAR PUTERI,. Industri tanaman durian di negeri ini menunjukkan peningkatan positif dari aspek jumlah pengusaha tanaman, keluasan dan juga pengeluaran buah tersebut sejak dua tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, seramai 31,500 orang pengusaha tanaman durian direkodkan pada tahun 2022 dan ia meningkat kepada 34,650 orang pada tahun lepas.
Beliau berkata, dari segi keluasan tanaman pula, seluas 19,979.3 hektar direkodkan pada tahun 2022 dan meningkat kepada 20,275.6 hektar pada tahun lalu.
“Dalam tempoh sama, dari segi pengeluaran durian pula, sebanyak 138,945.5 metrik tan direkodkan pada tahun 2022 dan meningkat kepada 148,365 metrik tan pada tahun 2023. Ia telah melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) negeri Johor iaitu 141,862 metrik tan menjelang tahun 2027.
“Negeri Johor juga merupakan pengeluar utama buah durian dan daerah yang paling banyak mengeluarkan durian adalah Tangkak,” katanya ketika menjawab soalan lisan dari Ee Chin Li (PH – Tangkak) pada persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di sini, pada Rabu.
Zahari (BN- Buloh Kasap) berkata, dengan peningkatan positif tersebut, kerajaan berusaha untuk memperkasakan pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil durian bagi memastikan jaminan kuantiti dan kualiti buah dapat dikekalkan.
Menurutnya, ketika ini terdapat 39 pusat pengumpulan dan tujuh pusat pemprosesan durian yang diterajui oleh pengusaha atau syarikat swasta di negeri ini.
Beliau menambah, pada tahun lepas, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor merekodkan eksport durian melalui pintu keluar sempadan negeri Johor sebanyak 47.38 juta metrik tan.
Menurutnya lagi, di bawah FAMA Johor, terdapat sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan durian di Tangkak, namun ia berskala kecil.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri berhasrat untuk menaiktaraf fasiliti dan teknologi pusat pengumpulan dan pemprosesan durian FAMA tersebut dan ia bakal menjadi pusat pengumpulan dan pemprosesan bagi durian-durian yang dikeluarkan di sekitar Tangkak, Muar dan Segamat.
“Sebelum ini, keupayaan pusat ini hanya mampu memproses dua metrik tan durian sehari dan penyimpanan hanya sebanyak 22 metrik tan isi durian dalam satu-satu masa. Dengan menaik taraf pusat ini, keupayaan memproses durian sejuk beku akan meningkat kepada anggaran sekitar 12 metrik tan sehari, 360 metrik tan sebulan dan 4,320 metrik tan setahun,” katanya.
–BERNAMA