Inkues tiga lelaki ditembak mati akan dijalankan segera – KPN

Inkues tiga lelaki ditembak mati akan dijalankan segera – KPN

SHAH ALAM,. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan satu inkues mengenai kejadian tiga lelaki ditembak mati oleh polis di Batu Arang, Rawang, Sabtu lalu, akan dijalankan secepat mungkin.

Beliau berkata ia adalah bagi mengelakkan kejadian itu dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab selain untuk menegakkan keadilan terhadap pihak yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Buat masa ini, katanya inkues tersebut belum boleh dimulakan kerana proses untuk menyediakan laporan bedah siasat dan forensik sedang giat dijalankan dan sejurus siap, ia akan segera dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam kes yang memerlukan khidmat Jabatan Kimia, saya tidak boleh bagi tempoh masa bila inkues tersebut akan dimulakan kerana mereka ada prosedur operasi standard (dalam menyediakan laporan berkaitan).

“Sekarang kita (polis) tunggu saja (untuk semua laporan disediakan). Sejurus dapat, kita akan ambil tindakan seterusnya. Saya alu-alukan supaya inkues dapat dijalankan segera dan keadilan dapat diputuskan,” katanya dalam sidang media selepas menjadi tetamu program Bicara Minda anjuran akhbar Sinar Harian, di sini hari ini.

Sabtu lalu, tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata, maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di kilometer 22, Jalan Rawang menghala Batu Arang dekat sini.

Polis Selangor mengesahkan dua individu yang ditembak mati itu adalah anggota kumpulan kongsi gelap 08 manakala hasil semakan menunjukkan seorang lagi mempunyai rekod pemutihan oleh Jabatan Imigresen pada tahun 2013.

Polis turut menafikan terdapat seorang wanita yang juga isteri kepada seorang daripada suspek dalam kereta dinaiki penjenayah itu ketika kejadian berkenaan.

Wanita itu, G. Moganambal, 35, bagaimanapun dilaporkan hilang selepas kejadian tersebut dan masih belum ditemui sehingga kini.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Abdul Hamid berkata sebanyak tujuh laporan polis diterima pihaknya berhubung kehilangan wanita terbabit dan tiga kertas inkuiri polis bersabit laporan berkenaan dibuka setakat tengah hari tadi.

“Siasatan dijalankan berdasarkan kepada laporan-laporan berkenaan yang menyatakan mengenai orang hilang. Kewujudan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan wanita itu juga kita telah siasat.

“Kita dapati waktu rakaman (yang memaparkan wanita berkenaan) adalah pada jam 10.33 malam tetapi kejadian (tembak mati) berlaku pada jam 5.30 pagi. Jadi, apa yang berlaku antara waktu tersebut menjadi persoalan dan sebab itu kertas inkuiri dibuka,” katanya.

Pada Isnin lepas, muncul rakaman CCTV dalam sebuah lif memaparkan seorang wanita yang kehilangannya diperkatakan selepas kejadian tembakan pada hari berkenaan.

Terdahulu dalam program berkenaan, Abdul Hamid ditanya oleh moderator Tan Sri Johan Jaafar mengenai perkembangan siasatan kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri dan beliau menyatakan polis sedang mendapatkan khidmat pakar untuk menganalisis klip berkenaan.

Katanya, polis tidak boleh mengambil langkah semberono dalam memilih pakar terlibat dan ia harus dibuat dengan teliti memandangkan entiti itu perlu memberi keterangan berkaitan kes berkenaan kepada mahkamah kelak.

“Kes ini berprofil tinggi dari sudut teknikal. Saya tiada kepakaran dan saya tidak boleh berikan pandangan peribadi. Polis menurut arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memperoleh pendapat kedua dan ketiga (berkaitan video tersebut).

“Kita masih aktif (jalankan siasatan) menerusi arahan yang dikeluarkan jabatan berkenaan. Buat masa ini, kita sedang dapatkan khidmat (pakar) untuk menganalisisnya,” katanya.

— BERNAMA

Oleh Mohd Shukri Ishak

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )