Institusi kewangan Singapura lanjutkan bantuan kepada individu, PKS

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 5 Okt — Institusi kewangan Singapura mengumumkan lanjutan langkah-langkah bantuan untuk membantu individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi masalah aliran tunai untuk pembayaran balik penuh pinjaman.

“Langkah-langkah lanjutan ini akan tamat secara berperingkat pada 2021,” menurut Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS), Persatuan Bank-Bank di Singapura (ABS) dan Persatuan Firma Kewangan Singapura (FHAS) dalam kenyataan bersama di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, sejak April lepas, bank-bank dan syarikat kewangan telah memberikan penangguhan pembayaran kepada individu dan PKS yang menghadapi cabaran jangka pendek dalam membayar ansuran pinjaman mereka.

Katanya pelbagai langkah bantuan telah membantu meringankan tekanan aliran tunai yang dihadapi oleh individu dan PKS, dan akan tamat pada 31 Disember 2020.

Menurut kenyataan itu, peminjam yang mampu untuk menyambung semula pembayaran ansuran pinjaman mereka sepenuhnya, perlu mula berbuat demikian mulai 1 Jan, 2021, berikutan penangguhan selanjutnya akan meningkatkan keseluruhan hutang mereka.

Bagaimanapun, katanya MAS dan industri kewangan menyedari bahawa banyak individu dan perniagaan akan terus mengalami tekanan aliran tunai sehingga awal 2021.

“Lanjutan langkah-langkah bantuan itu akan memberi individu dan perniagaan yang kini menangguhkan pembayaran balik pinjaman lebih banyak masa untuk menyambung semula pembayaran tersebut.

“Langkah-langkah bantuan itu juga untuk peminjam yang sebelum ini bukan di bawah mana-mana penangguhan pembayaran, tetapi kini menghadapi cabaran aliran tunai,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )