IoT untuk rangsang ekonomi negara anggota D-8 pasca COVID-19 – Muhyiddin
PUTRAJAYA,. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis berkata Malaysia percaya Internet of Things (IoT) akan merangsang ekonomi negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) serta menjadi pemacu utama dalam mengubah ekonomi global pasca-COVID-19.
Dalam ucap tama pada Sidang Kemuncak ke-10 D-8 secara maya hari ini, Muhyiddin berkata Malaysia sedang giat membangunkan industri berasaskan IoT seperti e-dagang, analitik data raya, kecerdasan buatan (AI), blockchain dan automasi.
Beliau berkata pandemik COVID-19 mengetengahkan lagi keperluan mendesak terhadap agenda perangkuman digital.
“Sekalipun krisis membolehkan ratusan juta orang bekerja, belajar dan berhubung secara digital, pada masa sama dapat dilihat krisis itu memburukkan lagi keadaan golongan rentan yang jelas terlalu ramai di seluruh dunia.
“Lebih-lebih lagi sekarang, kesalinghubungan harus menjadi teras dalam semua keutamaan negara dan antarabangsa, dari penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan kerajaan dan seterusnya,” kata Muhyiddin.
D-8 terdiri daripada lapan negara membangun iaitu Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.
Berkongsikan pengalaman Malaysia, Muhyiddin berkata kerajaan baru-baru ini mengumumkan Pelan Hala Tuju Transformasi Digital dengan pelan tindakannya menumpukan pada pengembangan dan peningkatan kesalinghubungan digital negara.
Beliau berkata pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bernilai US$12.7 bilion, akan menjadi platform untuk mencapai aspirasi dengan mempercepat kesalinghubungan digital negara melalui perluasan akses mudah alih, gentian dan tanpa wayar tetap, serta membuka laluan kepada 5G.
“Kami percaya ia akan mendorong kepada penerimagunaan teknologi dan transformasi digital. Ini perlu bagi trajektori ekonomi negara,” katanya.
Muhyiddin juga berkata dengan populasi belia sekitar 550 juta, negara anggota D-8 boleh menghidupkan semula ekonomi mereka menerusi pemerkasaan golongan tersebut dengan memberikan mereka kemahiran digital selain memanfaatkan perniagaan digital dan keusahawanan.
Beliau berkata Malaysia mengakui industri berasaskan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) akan mempercepat pertumbuhan ekonomi digital.
Muhyiddin berkata di bawah inisiatif beraspirasikan teknologi IR4.0, kerajaan memperkenalkan Malaysia 5.0 bagi menangani isu akses digital, perangkuman kewangan, produktiviti dan pertumbuhan menerusi instrumen Industri 4.0 seperti fintech, blockchain dan AI, memandangkan ini akan menyumbang kepada ekonomi digital serta ekonomi yang lebih mampan.
“Sebagai strategi jangka panjang, kerajaan saya pada masa ini bekerja rapat dengan kolej dan universiti kami.
Sasarannya ialah untuk membantu kolej dan universiti ini mengeluarkan lulusan yang relevan dan sedia untuk industri bagi sektor ICT (teknologi komunikasi dan maklumat), topik yang lebih relevan seperti IoT dan analitik data raya ke dalam silibus,” katanya.
Muhyiddin berkata program yang direka bentuk secara khusus dilancarkan baru-baru ini bagi memperkasa belia Malaysia yang terjejas secara langsung oleh pandemik.
Beliau berkata program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp merupakan latihan berasaskan teknologi dan program bimbingan perniagaan untuk usahawan muda, yang bertujuan memanfaatkan belia Malaysia untuk jangka panjang.
“Ini merupakan satu daripada inisiatif di bawah pakej rangsangan pemulihan selepas pandemik kerajaan bernilai US$4.8 bilion,” tambah beliau.
Muhyiddin berkata Malaysia juga bangga dengan penglibatan golongan muda dalam pertanian yang mana ia semakin meningkat.
Katanya anjakan pemikiran generasi muda memberi jaminan kepada mereka bahawa pertanian mempunyai masa depan yang cerah.
“Pertanian pintar kini pantas menjadi pertanian masa depan. Rantaian bekalan makanan boleh ditambah baik dengan memperkenalkan teknologi pemboleh seperti IoT atau sistem kebolehkesanan yang berpotensi meningkatkan keselamatan makanan dan ketelusan pengeluaran,” katanya.
Muhyiddin berkata pandemik itu juga mengubah kaedah belajar secara konvesional dan kerajaan telah memperkenalkan inisiatif untuk mengurangkan kesannya termasuk meningkatkan prasarana platform digital bagi pembelajaran dalam talian.
Beliau berkata ini termasuk kesalinghubungan lebih baik di sekolah kawasan pedalaman dan kawasan terpencil menerusi jaringan gentian optik lebih teguh selain menyediakan 150,000 komputer riba bersama-sama pakej data terhad percuma untuk pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terganggu.
Muhyiddin mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak D-8 yang dihoskan oleh Bangladesh iaitu pengerusi semasa Sidang Kemuncak D-8.
Antara yang hadir pada sidang kemuncak secara maya itu ialah Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Presiden Indonesia Joko Widodo, Presiden Iran Hassan Rouhani dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan.
— BERNAMA