IPO MR DIY terlebih langgan 3.9 kali

IPO MR DIY terlebih langgan 3.9 kali

KUALA LUMPUR,. Tawaran awam permulaan (IPO) MR DIY Group (M) Bhd (MDGM) sebanyak 941.49 juta saham telah terlebih langgan 3.9 kali, kata peruncit perkakas rumah itu.

MDGM dalam satu kenyataan hari ini berkata minat yang tinggi daripada pelabur Malaysia, asing dan pelabur terpilih menyaksikan tawaran institusinya terlebih langgan sebanyak 4.71 kali.

“Bagi tawaran runcit, permohonan bagi sejumlah 169.94 juta saham terbitan dengan nilai RM271.90 juta diterima daripada orang awam Malaysia dan orang yang layak.

“Bagi pengundian saham berkenan dengan permohonan yang diterima daripada orang awam Malaysia, sejumlah 9,244 permohonan bagi 133.94 juta saham terbitan dengan nilai RM214.30 juta diterima, mewakili lebihan langganan 0.07 kali,” kata syarikat itu.

MDGM berkata 36 juta saham terbitan diperuntukkan bagi permohonan oleh orang yang layak telah dilanggan sepenuhnya.

“Harga institusi ditetapkan pada RM1.60 sesaham IPO. Oleh itu, harga runcit akhir bagi saham terbitan di bawah tawaran runcit telah ditetapkan pada RM1.60 bagi setiap saham terbitan,” kata kumpulan itu.

Oleh kerana harga runcit akhir setara dengan harga runcit RM1.60 bagi setiap saham terbitan, bayaran balik tidak akan dibuat kepada pemohon yang berjaya.

Notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya pada atau sebelum 26 Oktober.

IPO MDGM melibatkan penawaran sehingga 941.49 juta saham dengan tawaran institusi 779.96 juta saham bagi pelabur Malaysia, institusi asing dan pelabur terpilih termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Ia juga melibatkan tawaran runcit 161.53 juta saham terbitan bagi pengarah-pengarah MDGM, kakitangan yang layak dan anak syarikat dan orang yang telah menyumbang (secara kolektif) kepada kejayaan syarikat, dan orang awam Malaysia.

Syarikat itu menyasar mengumpul RM1.5 bilion daripada IPO tersebut dan bakal memulakan dagangan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 26 Oktober.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )