
IPO Samaiden lebih langganan 65.91 kali
KUALA LUMPUR,. Bahagian awam tawaran awam permulaan (IPO) Samaiden Group Bhd terlebih langgan sebanyak 35 kali.
Syarikat itu menerima sebanyak 15,857 permohonan untuk 603.95 juta saham baharu dengan nilai RM289.90 juta bagi 10.50 juta saham tersedia untuk pemohonan oleh rakyat Malaysia yang mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 56.52 kali.
Sebanyak 8,735 permohonan untuk 252.69 juta saham baharu diterima bagi bahagian Bumiputera yang diterjemahkan sebagai kadar lebih langganan sebanyak 47.13 kali.
Bagi bahagian awam, sebanyak 7,122 permohonan untuk 351.26 juta saham biasa baharu telah diterima, mewakili kadar lebih langganan sebanyak 65.91 kali.
Dalam pada itu, saham biasa baharu sebanyak 6.30 juta diperuntukkan bagi pengarah, kakitangan dan orang yang layak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan telah dilanggan sepenuhnya.
Sebagai tambahan, ejen penempatan telah mengesahkan bahawa 44.35 juta saham melalui penempatan kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah dilaksanakan sepenuhnya.
Samaiden adalah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian sistem fotovoltaik suria dan loji janakuasa.
IPO Samaiden merangkumi terbitan awam sebanyak 61.16 juta saham pada 48 sen setiap satu dan dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 Oktober depan.
Alliance Investment Bank Bhd (AIBB) adalah penasihat prinsipal, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan bagi IPO tersebut.
— BERNAMA