IPTA, IPTS perlu optimum ilmu, pakar dan teknologi bantu kecemerlangan sukan

IPTA, IPTS perlu optimum ilmu, pakar dan teknologi bantu kecemerlangan sukan

PUTRAJAYA,. Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu mengoptimumkan penggunaan ilmu, pendidikan, pakar serta teknologi terkini dalam membantu ekosistem kecemerlangan sukan negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled berkata segala aset yang dimiliki IPTA dan IPTS perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana pembangunan sektor sukan amat berkait rapat dengan ilmu, penyelidikan, strategi dan teknologi.

“Sukan bukan sahaja tentang kekuatan fizikal tetapi tentang kelebihan teknologi dan strategi. Kita harus teroka perkara ini,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen IPT Malaysia ke Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 di sini malam tadi.

Beliau optimis bahawa sumbangan IPTA dan IPTS dalam pembangunan sektor sukan dapat memastikan IPTA dan IPTA sentiasa dekat dengan pihak berkepentingan sektor sukan.

Mengenai Universiade 2023 yang akan berlangsung di Chengdu, China mulai 28 Julai hingga 8 Ogos ini, beliau berkata seramai 96 atlet kontinjen Malaysia akan mengambil bahagian dalam lapan daripada 18 acara dipertandingkan.

“Tunjukkanlah daya juang, semangat kesukanan serta nilai patriotisme yang membanggakan negara. Pastikan penyertaan anda dalam temasya ini memberi nilai tambah, pengalaman serta ilmu yang berguna kepada anda,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )