Ismail Sabri belum putuskan pertahan jawatan Naib Presiden UMNO

Ismail Sabri belum putuskan pertahan jawatan Naib Presiden UMNO

BERA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti akan datang. Katanya, masih terlalu awal untuk menentukan perkara itu, namun beliau mengesahkan akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

“Saya perlu berbincang dengan orang Bera dulu (untuk pertahan jawatan Naib Presiden).

“Yang pasti, saya akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera di dalam kawasan Parlimen Bera ini,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Pusat Kawalan Operasi Daerah Bera (PKOD) dan Majlis Penyerahan Sijil, Pingat Pertahanan Awam serta Pemakaian Pangkat Anggota APM, di sini, pada Khamis.

Ismail Sabri memberitahu, Perhimpunan Agong UMNO (PAU) baru-baru ini, memutuskan hanya jawatan Naib Presiden dan ke bawah sahaja yang akan dipertandingkan pada pemilihan parti.
Katanya, keputusan PAU itu seolah-olah ‘keputusan muktamad’ bahawa tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Kita tak tahu lagi apa jadi selepas ini. Kalau ada (tindakan) perundangan atau apa-apa perkara berkaitan perundangan… contohnya kalau ada orang yang mencabar keputusan tersebut, mungkin berbeza.

“Tapi setakat hari ni, berdasarkan keputusan PAU, Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. “Seperti saya katakan tadi, saya akan mempertahankan jawatan di Bahagian Bera sebab sebagai Ahli Parlimen Bera perlu ada dalam Bahagian.

“Kita akan teruskan dengan Bera dulu, yang lain tunggu dululah. Kita akan bincang. Tunggulah pengumuman saya nanti,” tambahnya lagi. Bekas Perdana Menteri itu ditanya sama ada akan mempertahankan jawatan Naib Presiden atau sebaliknya pada Pemilihan UMNO tahun ini.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)