Istiadat angkat sumpah menteri persekutuan petang ini

Istiadat angkat sumpah menteri persekutuan petang ini

KUALA LUMPUR,. Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan akan berlangsung pada 2.30 petang ini di Istana Negara.

Menurut sumber, turut berlangsung adalah Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan.

Pada 1 Dis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa rombakan Kabinet akan berlaku dalam bulan ini dan ketika ini, terdapat kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Jawatan itu kini dipangku Datuk Armizan Mohd Ali yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas).

Sementara itu, pada pagi ini Perdana Menteri menghadiri Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan, Putrajaya dan beliau juga dijadual menghadiri sambutan Jubli Perak 25 tahun Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini pada 8 malam ini.

Berdasarkan liputan media, beberapa Menteri Kabinet masih mempunyai program hari ini antaranya Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang melancarkan projek Inisiatif Pendapatan Rakyat-INTAN Wilayah Ekonomi Koridor Utara di Ipoh, Perak.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pula berada di Kelantan untuk merasmikan majlis penyerahan Projek Bencana Runtuhan Tebing Sungai Kelantan di Dataran Air Muleh, Pasir Mas manakala Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar dijadual menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Pahang di Berjaya Megamall, Kuantan pada 10.30 pagi ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin akan menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penawaran Perkhidmatan Pelantar “kolektif” antara Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Malaysian Academic Consortium Sdn Bhd di Putrajaya pada 11 pagi.

Pada 2.30 petang, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dijadual menghadiri majlis menandatangani Perjanjian Bagi Pemasangan Solar Panel antara Malakoff Corporation Bhd dengan Perbadanan Aset Keretapi dan KTMB di Putrajaya sebelum beliau dijangka mengadakan sidang media khas di Ibu Pejabat DAP di sini pada 5 petang ini.

Selain itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dijangka hadir ke majlis Huawei Cloud Partner Connection 2023 di sebuah hotel di sini pada 4 petang ini.

Di Shah Alam, Selangor Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dijadual menghadiri majlis MoU antara Pusat Pembangunan Teknikal Negeri Selangor (STDC) dengan Kementerian Pendidikan di STDC, Seksyen 7 pada 3 petang ini.

Turut mempunyai program adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan dijadual menghadiri majlis makan malam Aspirasi Karnival Usahawan Desa Putrajaya di Bangi pada 8 malam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)