Isu nelayan, potensi pelancongan dalam kawasan DUN Kukup timbul kembali

Isu nelayan, potensi pelancongan dalam kawasan DUN Kukup timbul kembali

PONTIAN,. Masalah nelayan dan potensi pelancongan di kawasan berhampiran dengan Taman Negara Johor iaitu Tanjung Piai dan Pulau Kukup menjadi antara isu penting yang seringkali diperkatakan banyak pihak tentang kawasan Parlimen Tanjung Piai.

Kedua-dua Taman Negara itu serta sebahagian besar aktiviti perikanan di Tanjung Piai yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup itu, mempunyai potensi dalam penjanaan ekonomi berasaskan pelancongan yang boleh memberi manfaat kepada penduduk di kawasan itu dan juga penduduk kawasan berhampiran.

Bagi nelayan pula, mereka berharap dengan adanya dua Taman Negara yang menjadi tarikan bukan sahaja daripada pelancong tempatan, malah dari luar negeri, adanya peluang-peluang lain dalam sektor pelancongan yang mampu memberikan kesan ekonomi buat mereka seperti pengangkutan bot, restoran makanan laut selain produk-produk hasil laut.

Namun, apa yang berlaku ketika ini adalah aktiviti pembangunan yang ada berhampiran kawasan laut dan pantai di Tanjung Piai telah membawa kesan negatif kepada kegiatan ekonomi nelayan terutama hasil tangkapan yang semakin merosot.

Bagi penduduk tempatan, rungutan mereka berkisar tentang peluang untuk mereka memajukan diri, peluang pekerjaan dan peluang berniaga buat mereka seiring dengan potensi ‘kehebatan’ sektor ekopelancongan di situ.

Ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sedang hangat berjalan ketika ini, kedua-dua isu itu semakin kerap dibangkitkan, baik oleh penduduk setempat, pihak kerajaan negeri dan pembangkang mahupun pihak berkecuali termasuk dalam kempen-kempen PRK itu.

Norma Mohamed, ibu kepada bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, berkata kedua-dua isu itu telah menjadi perhatian anaknya sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lepas.

Nelayan pulang dari laut ketika tinjauan Bernama di Jeti Pangkalan Tanjung Piai baru-baru ini.

Beliau berkata taraf hidup nelayan dan industri pelancongan itu perlu dipertingkatkan dan mampu ditambah baik menerusi kesinambungan dan legasi pelbagai program pembangunan yang telah dirancang sebelum ini.

Katanya sebagai contoh, penambahbaikan jalan-jalan utama yang menghubungkan Serkat-Kukup-Tanjung Piai apabila siap kelak, bakal merancakkan lagi sektor ekonomi sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk sekitar.

“Jalan raya penting untuk membangunkan industri pelancongan di kawasan ini. Dia (arwah) sendiri yang meminta kerja-kerja berkaitan apa yang telah dirancang ini dipercepatkan dan diselesaikan dalam pentadbirannya,” katanya.

Bagi Jamaluddin Mohamad, seorang nelayan di Jeti Pangkalan Nelayan Parit Penghulu Mukim Serkat, masalah berkaitan nelayan seperti jeti dan kebajikan boleh diselesaikan jika wakil rakyat yang dipilih mendekati komuniti tersebut dan bukannya muncul sewaktu majlis tertentu sahaja.

Mat Salim Hamzah, dari Kampung Belokok, Teluk Kerang pula berkata selain isu jeti dan kebajikan nelayan, pihak berwajib juga perlu memberi tumpuan kepada sungai-sungai yang berada di kawasan Tanjung Piai yang tercemar akibat projek kumbahan pihak tertentu yang akhirnya bukan sahaja menjejaskan sektor perikanan tetapi juga pelancongan.

“Ini menyukarkan nelayan mendapat hasil laut seperti udang dalam jumlah yang banyak sekali gus menjejaskan pendapatan mereka untuk menyara keluarga,” katanya.

Amat jelas, PRK ketika ini kembali menimbulkan isu nelayan dan potensi pelancongan di Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup, sehingga kedua-dua isu secara tiba-tiba ‘diperjuangkan’ oleh sebahagian besar calon-calon bertanding manakala bagi penduduk pula inilah masa untuk mereka menyuarakan suara hati dan kehendak mereka.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Dr Md Farid, 42, daripada Pakatan Harapan (PH) pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Hari mengundi ditetapkan pada 16 Nov manakala undi awal pada 12 Nov.

PRK kali ini melibatkan pertandingan enam penjuru antara calon PH Karmaine Sardini dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Gerakan yang diwakili Wendy Subramaniam, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)