Isu padang stadium rosak: KBS keluarkan kenyataan minggu depan

Isu padang stadium rosak: KBS keluarkan kenyataan minggu depan

KUALA LUMPUR,. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung isu kerosakan padang Stadium Nasional Bukit Jalil, minggu depan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika ditemui Bernama selepas menghadiri sesi Kopi, Sukan dan Aspirasi Bersama Atlet Negara di pentas utama, Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

“Berkaitan stadium (isu kerosakan padang), kita tunggu minggu depan,” katanya ringkas apabila diminta mengulas kekecewaan ramai pihak terhadap keadaan padang rosak di stadium itu ketika aksi final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) malam tadi.

Malah, daripada perkongsian gambar di media sosial sebelum ini, kelihatan keadaan padang stadium itu tidak banyak berubah dengan terdapat kawasan terjejas teruk sehingga memperlihatkan rumput masih kuning dan berpasir, meskipun usaha untuk membaikinya sudah dilakukan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Keadaan itu turut menarik perhatian pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila berkongsi gambar padang yang rosak selepas konsert kumpulan Coldplay berlangsung di stadium berkenaan, 22 Nov lepas.

Sementara itu, Hannah memaklumkan beliau gembira dengan sambutan daripada golongan muda terhadap pengisian diatur di reruai KBS pada program itu, yang merupakan satu pendekatan untuk rakyat berjumpa dengan pihak berkepentingan dan atlet.

“Saya harap apabila orang ramai datang melihat dan dengar sendiri pengisian-pengisian diatur termasuk cabaran atlet dalam sukan masing-masing maka mereka akan lebih terbuka mengikuti kita bagi program-program akan datang.

“Kebetulan, tahun depan kita ada RM20 juta untuk inisiatif Rakan Muda yang akan diperluaskan di seluruh negara meliputi 10 gaya hidup,” katanya.

Program Rakan Muda yang diberi nafas baharu pada Jun lepas kini mempunyai 1,074,934 ahli dengan 3,888 program telah dilaksanakan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)