Isu pemandu mabuk: Jabatan Peguam Negara sudah muktamadkan beberapa perkara

Isu pemandu mabuk: Jabatan Peguam Negara sudah muktamadkan beberapa perkara

KUALA LUMPUR,. Jabatan Peguam Negara sudah memuktamadkan beberapa perkara mengenai keputusan Jemaah Menteri berhubung cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) khususnya berkaitan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 pada 24 Jun lalu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, draf rang undang-undang bagi menangani masalah pemanduan di bawah pengaruh dadah, alkohol atau pemanduan merbahaya itu akan melalui kelulusan Kabinet sebelum dibentangkan pada persidangan Parlimen bulan ini.

“Mudah-mudahan, kita akan mendapat sokongan Dewan untuk meluluskan undang-undang yang lebih tegas bagi melindungi para pengguna jalan raya.

“Kementerian Pengangkutan akan terus melakukan advokasi kepada orang ramai supaya menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab menerusi pendidikan.

“Masanya telah tiba untuk memberi pengajaran tegas kepada pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab.

“Justeru itu, kerajaan serius untuk meminda Akta 333 ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau pada masa sama, mengulangi gesaan kepada masyarakat agar bersama-sama memainkan peranan dalam usaha mencegah pemanduan secara melulu dan mabuk.

“Ini adalah sebahagian daripada sokongan masyarakat yang sangat diperlukan untuk mencegah dan memerangi penyakit sosial ini yang mengabaikan keselamatan diri dan juga orang lain di jalan raya,” ujarnya.

Pada masa sama, kerajaan turut memandang serius berhubung kegiatan ‘basikal lajak’ atau kegiatan yang tidak bertanggungjawab sehingga boleh menyebabkan kemalangan atau bahkan meragut nyawa.

Justeru, katanya, sebahagian daripada cadangan pindaan Akta 333 ini juga ada memperincikan perkara tersebut.

–ASTRO AWANI

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )