Isu perkataan kafir, Pesuruhjaya Pas Perak dipanggil bantu siasatan

Isu perkataan kafir, Pesuruhjaya Pas Perak dipanggil bantu siasatan

BAGAN SERAI: Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran di platform media sosial, Facebook oleh seorang individu berkaitan isu perkataan kafir yang tular sebelum ini.

Memetik portal Sinar Harian, Razman mengesahkan perkara itu menjelaskan, beliau diambil keterangan selepas dipanggil pihak polis susulan laporan dibuat oleh Setiausaha Politik Menteri Pendidikan hari ini.

“Ada satu akaun yang komen terhadap kenyataan tersebut. Mungkin polis mengesyaki sebab ada perkataan Razman itu, mungkin mereka ingat saya ada akaun kedua bagi tujuan menjatuhkan imej Menteri Pendidikan ini.

“Saya memang tidak ada kaitan apa-apa dengan akaun ini, jadi tak boleh dikaitkan dengan penghinaan terhadap Fadhlina Sidek,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol di sini pada Khamis.

Menurut ADUN Gunung Semanggol itu lagi, pihaknya bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis jika kembali dipanggil dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa.

Jelasnya, apa yang pasti penafian terhadap hantaran tersebut telah dibuat kerana ia bukan akaun Facebook kedua miliknya tetapi individu lain. Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan mengenai perkara tersebut, namun enggan mengulas lanjut.

Menurutnya, perkara tersebut masih di peringkat awal dan pihak polis sedang melihat secara menyeluruh memandangkan ia sedang dalam siasatan.

Pada 31 Mac lalu, pihak polis mengesahkan telah menerima satu laporan berhubung isu fitnah mengaitkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang tular di aplikasi WhatApps dan Facebook.
Laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Sungai Maong, Kuching, Sarawak oleh Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Atiqah Syairah Shaharudin.

Terdahulu, Fadhlina dilaporkan berkata, video tular di media sosial berkaitan isu kafir itu telah diambil di luar konsensus dan diselewengkan konteks dengan cubaan jahat mahu mencalarkan imej serta kredibiliti beliau.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau sebelum ini, Fadhlina menyifatkan penularan video itu turut berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) dengan memercikkan pemesongan makna ucapan sebenar sehingga beliau ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah selain diancam keselamatan.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)