Isu Rohingya: Empat kertas siasatan dibuka
KUALA LUMPUR,. Polis telah membuka empat kertas siasatan berkaitan isu etnik Rohingya, termasuk berhubung video ‘live’ Facebook disyaki dilakukan sekumpulan lelaki Rohingya yang didakwa telah menakutkan secara jenayah dengan menggunakan kata-kata kesat serta berbaur ugutan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata semakan polis mendapati ‘live’ Facebook itu menggunakan akaun milik Villan Vicky berbangsa Rohingya yang kini menetap di Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat.
“Dia pernah tinggal di Malaysia …posting itu mencabar rakyat Malaysia dengan menggunakan bahasa kesat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata selain itu siasatan turut dijalankan terhadap satu hantaran atau posting video tular yang menunjukkan empat individu sedang menjalankan latihan menembak menggunakan senjata api dan suspek juga membuat ugutan untuk menembak mana-mana individu yang masuk ke kawasan tempat tinggal suspek.
Siasatan kes membabitkan etnik Rohingya itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) susulan 19 laporan yang diterima sejak Sabtu lepas sehingga semalam.
Menjelas lanjut, Huzir berkata siasatan terhadap ‘live’ Facebook itu mendapati perbualan antara tiga lelaki dengan seorang lelaki yang mempersoalkan tujuan mereka memberikan komen negatif terhadap orang Melayu.
“Di penghujung live Facebook itu mereka menjelaskan bahawa sebenarnya kemarahan itu bukan ditujukan kepada orang Melayu di Malaysia sebaliknya kepada Zafar Ahmad, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Ethnik Rohingya Malaysia (MEHROM) dan etnik Rohingya yang didakwa ingin menjadi orang Melayu,” katanya.
Selain itu, mereka turut memaparkan video latihan menembak sebagai persiapan untuk mempertahankan diri.
Huzir berkata video yang tular itu adalah ‘live’ Facebook antara tiga lelaki yang dianggap sebagai komuniti etnik Rohingya yang tinggal di negara ini.