ITBM tangguh penamatan khidmat 24 orang kakitangan

ITBM tangguh penamatan khidmat 24 orang kakitangan

KUALA LUMPUR,. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menangguhkan tindakan pengecilan operasi melibatkan penamatan khidmat 24 orang kakitangannya.

Menurut kenyataan ITBM pada Isnin, penangguhan tersebut dibuat atas arahan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melalui surat bertarikh 4 Dis lepas bertujuan memberikan laluan kepada kementeriannya melaksanakan perancangan pemulihan ITBM bagi mengekalkan kelangsungan organisasi tersebut.

“Ini sesuai dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri untuk menyediakan peruntukan khas kepada ITBM melalui projek penerbitan buku teks yang dibuat secara rundingan terus,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPM turut mengenal pasti perancangan jangka pendek serta jangka panjang pemulihan operasi dan kedudukan kewangan ITBM.

“Antara langkah segera yang diambil adalah dengan penyaluran peruntukan sebanyak RM2 juta melalui pembelian buku sebagai bahan bacaan tambahan untuk edaran ke sekolah.

“Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan akan menyalurkan peruntukan dana berjumlah RM5 juta kepada ITBM dalam tempoh terdekat ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM Sakri Abdullah berkata Menteri Pendidikan telah mengarahkan ahli lembaga pengarah bersama-sama pengurusan untuk berbincang serta membentangkan perancangan jangka panjang pemulihan organisasi itu bagi mengekalkan kelangsungannya dengan peranan sedia ada.

Sakri berkata selari dengan revolusi industri 4.0 (IR 4.0), ITBM turut diminta mencari kaedah, medium lebih kreatif, interaktif serta terkini menggunakan konsep digital seperti augmented reality (AR) dan e-book.

“Cadangan dan saranan bagi pemulihan serta mengekalkan peranan ITBM ini merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk kekal memberi perhatian terhadap pembangunan serta perkembangan industri perbukuan negara, selari dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Dunia 2020,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)