Jabatan Peguam Negara rangka draf naikkan jumlah kompaun – Ismail Sabri

Jabatan Peguam Negara rangka draf naikkan jumlah kompaun – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR,. Pihak Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan bagi menaikkan nilai kompaun pesalah yang mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat sekiranya diluluskan.

“Difahamkan draf rangka cadangan menaikkan nilai kompaun sedang disediakan bagi sesiapa yang disabitkan kesalahan.

“Selepas diluluskan ia akan diumum Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri kerana perkara ini melibatkan Ordinan Darurat. Jadi, kita tunggu,” katanya dalam sidang media harian perkembangan PKP di Wisma Pertahanan, di sini.

Pada 30 Januari lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid menyarankan agar nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar SOP PKP perlu dinaikkan susulan peningkatan ketara kes COVID-19 di negara ini.

Menurut Abdul Hamid, setiap minggu ribuan saman dikeluarkan polis kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP yang kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata seramai 680 individu ditahan polis atas kesalahan mengingkari arahan SOP.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 630 individu telah dikompaun, 49 individu direman manakala seorang dijamin,” katanya.

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 16 pendatang tanpa izin ditahan, dua tekong serta enam buah kenderaan darat dirampas dalam operasi itu yang diadakan di seluruh negara.

“Dalam operasi itu juga, 103 bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)