Jabatan Pendidikan Negeri perlu siasat dakwaan soalan PT3 bocor – KPM

Jabatan Pendidikan Negeri perlu siasat dakwaan soalan PT3 bocor – KPM

PUTRAJAYA,. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) perlu menjalankan siasatan sekiranya dakwaan kononnya kertas soalan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bocor yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp benar.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata, individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyebaran kertas soalan itu boleh diambil tindakan memandangkan kertas itu adalah dokumen terperingkat terhad.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) PT3, tanggungjawab memuat turun dan mencetak kertas soalan terletak di bawah pengetua, penolong kanan pentadbiran dan setiausaha PT3 di sekolah masing-masing.

“Dalam hal ini, personel (kakitangan) yang menandatangani Akta Rahsia Rasmi 1972, wajib mematuhi setiap prosedur penjaminan kualiti termasuk memastikan keselamatan kertas soalan,” katanya.

KPM berkata, pengendalian PT3 adalah sama seperti pengendalian peperiksaan akhir tahun sekolah.

Katanya, Lembaga Peperiksaan berperanan sebagai penyedia kertas soalan dan menetapkan format pelaporan, manakala sekolah berperanan mentadbir PT3 yang merangkumi penerimaan kertas soalan, mencetak, melaksanakan pentaksiran, memeriksa kertas jawapan, mencetak dan mengeluarkan pelaporan serta melaksanakan penjaminan kualiti.

Memandangkan kertas soalan PT3 adalah dokumen terperingkat terhad, semua kakitangan pentadbiran dan pentaksiran adalah bertanggungjawab terhadap kerahsiaan dan keselamatan kertas soalan itu, katanya.

“Sewajarnya, kertas soalan dan panduan penskoran PT3 hendaklah disimpan di bilik berkunci dalam almari besi berkunci di sekolah.

“Bagi memastikan kerahsiaan dan keselamatan kertas soalan, pergerakan kertas soalan dan panduan penskoran mesti direkodkan,” katanya.

Semalam, KPM menafikan dakwaan kononnya peperiksaan Bahasa Inggeris PT3 akan diulang semula pada 10 Okt ini akibat soalan bocor.

Lebih 400,000 pelajar di seluruh negara menduduki PT3 semalam bermula dengan kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )