Jack Ma tinggalkan Alibaba hari ini

Jack Ma tinggalkan Alibaba hari ini

SHANGHAI,. Jack Ma secara rasminya meletak jawatan hari ini., Pengasas dan pengerusi firma perdagangan elektronik terbesar, Alibaba Group Holding Ltd telah menyatakan hasrat meninggalkan rangkaian syarikat e-dagang gergasi itu sejak setahun lalu.

Ma akan melengkapkan penggalnya dalam lembaga pengarah Alibaba susulan mesyuarat agung tahunan syarikat berkenaan pada 2020.

Beliau melepaskan jawatan ketua eksekutif pada 2013.

Tempatnya sebagai pengerusi akan digantikan oleh Daniel Zhang.

Zhang, 46, memegang jawatan CEO syarikat itu sejak 2015 selepas berkhidmat sebagai ketua pegawai operasi.

Ma sebelum ini dilaporkan mahu kembali ke bidang pendidikan sebaik sahaja meninggalkan Alibaba.

Beliau merupakan seorang guru Bahasa Inggeris sebelum menubuhkan Alibaba pada 1999.

Dalam temu bual bersama akhbar The New York Times, Ma memberitahu bahawa persaraannya daripada syarikat tersebut disifatkan sebagai ‘permulaan satu era baharu’ dan bukannya pengakhiran kepada Alibaba.

Menjelang persaraannya, majalah Forbes menyenaraikan Ma merupakan antara rakyat China paling kaya dengan nilai kekayaannya mencecah sehingga AS$36.6 bilion (RM152 bilion).

Ma memulakan perniagaannya selepas berhenti menjadi guru dan beliau melihat terdapat banyak peluang untuk meraih keuntungan menerusi perniagaan secara dalam talian.

Pada mulanya, Ma menjalankan operasi perniagaannya di kediamannya di timur bandar Hangzhou.

Usahawan tersohor itu merupakan graduan Kolej Guru Hangzhou dalam bidang pendidikan Bahasa Inggeris dan pernah menjadi pensyarah di sebuah universiti di bandar berkenaan.

Media China sebelum ini pernah melaporkan tentang kehidupan Ma yang berasal daripada keluarga miskin, selain kejayaannya menguruskan Alibaba menyaksikan medium perniagaan lelong Amerika Syarikat (AS) iaitu eBay terpaksa berundur dari pasaran China pada 2006. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)