Jadadish menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden MHC
KUALA LUMPUR,. Walaupun akan menjadi Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia yang baharu, Jadadish Chandra Bipin Chandra menyatakan perasaan sedihnya kerana menang jawatan itu, tanpa bertanding.
Jadadish, 61, menang tanpa bertanding selepas Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin mengumumkan penarikan dirinya daripada bertanding jawatan itu melalui email, pagi tadi.
Jawatan timbalan presiden itu kosong selepas penyandangnya George Koshy, memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya, dalam pemilihan yang akan diadakan semasa mesyuarat agung tahunan MHC, esok.
“Daripada satu sudut, saya agak sedih tidak akan ada pertandingan esok, kerana saya tidak sabar untuk melalui proses pemilihan yang adil dan demokrasi, tetapi penarikan diri beliau menyebabkan saya menang tanpa bertanding,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Jadadish yang juga pengerusi Jawatankuasa Perundangan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada Ahad mengesahkan penarikan diri Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah daripada bertanding jawatan yang sama.
Ditanya mengenai laporan yang dibuat Megat kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan salah laku dalam proses pemilihan Jadadish berkata ia adalah hak Megat untuk membuat sebarang laporan, dan menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak berkuasa.
“Tuduhan bahawa MHC tidak menjalankan AGM secara adil dan telus dalam proses mengumumkan calon-calon adalah tidak betul, proses itu terbuka, bersih dan telus. Ia satu kenyataan yang sedih bahawa (Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia BHD) Datuk Kamarudin Meranun tidak boleh bertanding (untuk jawatan presiden), kerana tidak memenuhi syarat minimum untuk mendapatkan tiga pencalonan.
“Hanya pencalonan dari Persatuan Hoki Johor yang jelas, tetapi ada pertanyaan mengenai pencalonan oleh Persatuan Hoki Kedah dan KLHA, kerana kedua-dua negeri itu telah mengemukakan dua pencalonan. Jawatankuasa boleh menolak kedua-dua senarai tersebut, yang mungkin bermakna Kamarudin hanya tinggal satu pencalonan.
“Tetapi untuk keadilan, dalam proses demokrasi, kami menulis kepada presiden untuk meminta penjelasan. Presiden KLHA menjawab senarai kedua adalah sah, sementara presiden Kedah menyatakan yang pertama adalah sah, jadi kami dengan apa yang telah disahkan oleh presiden, bermaksud Kamarudin hanya mempunyai dua pencalonan (Johor dan KL) dan tidak layak bertanding,” katanya.
Jadadish menambah, sehingga hari ini Kamarudin masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai berkaitan keseluruhan proses itu, namun pelbagai pihak lain mengeluarkan kenyataan.
“Adalah lebih baik jika Kamarudin sendiri dapat memperjelaskan situasi, tetapi saya faham dia berada di luar negara. Jika eksekutif persatuan hoki negeri mempunyai masalah dalam presiden mereka yang menentukan calon, mereka perlu berbincang dengan presiden masing-masing untuk menyelesaikan perkara itu dan lihat semula perlembagaan mereka,” katanya.
Beliau juga mengesahkan bahawa 14 calon (10 lelaki dan 4 wanita) tersenarai untuk tujuh jawatan naib presiden (sekurang-kurangnya dua perlu daripada satu jantina berlainan), selepas Datuk Seri Subahan Kamal mempertahankan jawatan presiden, tanpa bertanding.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hoki Sabah, Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh Sandhu, yang bertanding untuk naib presiden berkata beliau gembira dengan proses pemilihan.
“Saya boleh katakan, saya adalah orang Sabah pertama yang bertanding untuk jawatan itu. Saya yang tampil ke hadapan.
“Saya gembira kerana proses pemilihan cukup adil, semuanya berjalan dengan lancar dan mengikut perlembagaan. Seperti kita di Sabah, kita membincangkan dalam mesyuarat majlis dan menyokong nama-nama yang diberi, kita tidak membuat keputusan secara individu,” katanya.
— BERNAMA