Jakim iktiraf 800 syarikat Taiwan yang peroleh sijil halal daripada THC

Jakim iktiraf 800 syarikat Taiwan yang peroleh sijil halal daripada THC

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 1,000 syarikat Taiwan dalam industri halal telah memperoleh sijil halal dengan 80 peratus daripadanya diiktiraf of Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Timbalan Pengarah Pusat Halal Taiwan (THC), Lin Chia Yi berkata, ini adalah usaha mempromosi makanan halal Taiwan ke pasaran Muslim selain memberi jaminan kepada pelanggan Islam bahawa makanan yang disediakan adalah selamat dan halal untuk dimakan.

“Taiwan bukan negara Islam dan kami tidak memiliki begitu banyak produk halal jadi kami menggalakkan syarikat Taiwan agar memohon sijil halal supaya pelanggan rakyat Malaysia (yang beragama Islam) berasa selamat untuk mengambil makanan itu,” katanya kepada media di Ekspo Taiwan 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, THC telah menjalin kerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Industri Halal Berhad (HDC) serta bersama-sama menganjurkan Forum Halal Malaysia dan Taiwan di Taiwan bulan lepas dengan menjemput pakar HDC untuk menjelaskan mengenai pasaran Muslim, peraturan serta proses permohonan mendapatkan sijil halal.

“Kami juga mendapati bahawa pensijilan halal Malaysia dibangunkan dengan baik sekali,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, THC bekerjasama dengan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven) dalam mempromosi produk Taiwan dengan menganjurkan Festival Makanan Halal Taiwan di lebih 50 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara dan berharap dapat mencapai 200 kedai menjelang akhir tahun ini.

Lin berkata, kerjasama dengan pengimport dan pengedar tempatan juga antara strategi dalam mempromosi makanan halal Taiwan.

“Antara makanan halal Taiwan utama yang telah diimport ialah minuman berbuih, biskut tawar, mi segera, makanan dalam tin dan rempah-ratus. Yang terdapat di pavilion kami ialah madu asli, ekstrak ikan, teh labu air dan minyak cili,” katanya.

Pengurus Syarikat Madu Lebah Green Up, Yu Ting Tseng pula berkata, produk Madu Lebah Du Du Jia adalah jenama platinum yang telah memperoleh sijil halalnya sejak tahun lepas dan berharap dapat menembusi pasaran Muslim bermula dengan Malaysia.

Bagi Pengurus Besar Pao Chi Chung Enterprises, John Ju, beliau adalah generasi ketiga syarikat pengeluar sos cili halal yang berhasrat meneroka pasaran halal di Malaysia kerana kebanyakan produk mereka lazimnya dibeli secara pukal oleh restoran Cina yang mesra Muslim.

Sempena Ekspo Taiwan itu, THC turut menganjurkan edisi kedua Peraduan Memasak Halal Taiwan dengan empat pasukan dua peserta mengambil bahagian dari dua universiti tempatan iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam program kulinari.

Taste Titans dari UPM memenangi tempat pertama dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta topi chef THC dan produk Taiwan.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)