Jalan Lojing-Gua Musang ditutup
KOTA BHARU,. Jalan Lojing-Gua Musang di Kilometer (Km) 60 hingga Km 62 ditutup kepada semua kenderaan kerana tanah runtuh dan banjir lumpur kira-kira 3.30 petang tadi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata jalan yang terjejas dan tidak dapat dilalui kenderaan itu adalah sepanjang 1.5 km.
“Hujan lebat berterusan sejak tengah hari tadi menyebabkan kegagalan struktur tanah sehingga berlakunya runtuhan dan banjir lumpur sedalam antara 0.35 meter (m) hingga 0.76m.
Pemantauan mendapati banjir lumpur itu turut membawa bersama batu-batan serta bongkah kayu. Setakat ini tiada sebarang kemalangan menimpa pengguna jalan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
— BERNAMA