Jambatan Baharu Marang surai kesesakan, tingkat taraf sosioekonomi rakyat

Jambatan Baharu Marang surai kesesakan, tingkat taraf sosioekonomi rakyat

MARANG,. Projek Jambatan Baharu Marang yang merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan diharap mampu menyuraikan kesesakan lalu lintas sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat di bandar ini.

Jurutera Awam Kanan Unit Projek Khas Zon Timur I Cawangan Jalan, Aida Amalina Abdullah berkata projek melibatkan jajaran sepanjang 2.5 kilometer (km) di laluan FT003 Kuala Terengganu ke Kuantan itu dijangka siap pada Jun 2025.

“Laluan ini termasuk bahagian yang ditinggikan sepanjang kira-kira 1.4 km yang melibatkan empat lorong. Kemajuan fizikal setakat ini telah mencecah 29 peratus,” katanya kepada Bernama.

Katanya projek mercu tanda Marang bernilai RM338.5 juta itu setakat ini mendapat kerjasama baik daripada semua pihak termasuk masyarakat setempat.

“Penduduk sekitar sudah sedia maklum mengenai projek ini, harap tiada masalah kerana masyarakat juga berharap kegiatan ekonomi lebih rancak apabila jambatan ini siap kelak,” katanya.

Jambatan Baharu Marang antara yang disenaraikan dalam program penggantian jambatan dan menjadi keutamaan untuk dilaksanakan seperti yang dimohon Kerajaan Negeri Terengganu dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) susulan pertambahan trafik.

Seorang penduduk, Rahayu Mustaffa, 40, dari Kampung Seberang di sini berkata pembinaan jambatan baharu empat lorong itu sudah lama dinantikan oleh rakyat di Marang, memandangkan jambatan lama sempit dan tidak mampu menampung pertambahan penduduk serta kenderaan yang semakin ketara.

Selain itu katanya industri pelancongan di daerah ini yang semakin pesat memburukkan lagi masalah kesesakan lalu lintas sehingga adakalanya menjejaskan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Saya tinggal di sini sudah lebih 15 tahun, masalah kesesakan di jambatan tersebut dah lama. Penduduk di sini pun hampir putus asa berharap ada jambatan baharu. Alhamdulillah akhirnya impian kami termakbul dan harapan kami supaya ia dapat disiapkan segera untuk elakkan kemalangan atau hal-hal tidak diingini,” katanya.

Rohaizi Yusof, 45, pula berkata pembinaan jambatan baharu itu diharap dapat menyelesaikan masalah kesesakan yang kritikal terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.

“Kalau musim cuti sekolah atau hari raya saya memang tak keluar rumah atau berjalan ke mana-mana kerana jalan akan sesak teruk.

“Biasanya kesesakan teruk akan bermula dari Pantai Kelulut sehingga ke Simpang Empat Sotong iaitu sejauh kira-kira lapan kilometer,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )