
Jaminan Keselamatan Data Pengguna, Kod QR MyBorderPass Dilindungi Dengan Ciri Keselamatan Tertinggi – JIM
SEPANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberikan kepastian bahawa data peribadi pengguna yang menggunakan sistem kod QR melalui aplikasi MyBorderPass disimpan dengan tahap keselamatan yang tinggi.
Timbalan Ketua Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Amirul Ariffin Lakimin, menegaskan bahawa sistem tersebut mematuhi sepenuhnya Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) bagi memastikan perlindungan data peribadi dan mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
“Kod QR ini telah dilengkapi dengan sistem keselamatan yang ketat dan mematuhi Akta 709. Data hanya digunakan untuk tujuan imigresen dan tidak dikongsi dengan pihak ketiga bagi mencegah kebocoran maklumat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan bahawa kerajaan memulakan percubaan penggunaan kod QR untuk rakyat Malaysia, bermula bulan ini, sebagai langkah untuk mempercepatkan proses pelepasan imigresen di 40 lorong khas di KLIA Terminal 1 dan 2.
Menurut Saifuddin, sistem ini bertujuan mengatasi masalah kesesakan di pintu masuk negara, khususnya di KLIA, terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan. Dengan penggunaan kod QR, tempoh pelepasan imigresen dapat dikurangkan kepada hanya lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik biasa.
Amirul Ariffin juga menekankan bahawa inisiatif ini hadir tepat pada masanya kerana ia memudahkan dan mempercepatkan proses pelepasan imigresen, dengan tiga langkah mudah: memuat turun aplikasi MyBorderPass, mengimbas pasport, dan kod QR akan dijana secara automatik.
Bagi mereka yang tidak mahu menggunakan aplikasi MyBorderPass, Amirul menyatakan bahawa kaunter manual dan sistem pagar automatik masih disediakan sebagai alternatif.
Pengurus Besar Operasi KLIA Terminal 1, Abdul Hasman Abdul Muhimim, juga menggesa orang ramai agar memanfaatkan penggunaan kod QR di aplikasi MyBorderPass untuk meningkatkan kelancaran proses pelepasan imigresen. “Penggunaan kod QR ini mampu mempercepatkan masa pelepasan, menjadikannya antara lima hingga tujuh saat,” ujarnya.