Jangan ambil mudah cabaran Indonesia, Kemboja – Tan Cheng Hoe

Jangan ambil mudah cabaran Indonesia, Kemboja – Tan Cheng Hoe

KUALA LUMPUR,. Ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengakui cabaran musuh tradisi, Indonesia dan Kemboja tidak boleh dipandang enteng dalam saingan Kumpulan B kejohanan Piala AFF 2020 bermula 5 Disember ini hingga 1 Januari depan.

Selain pasukan ranking ke-95 dunia, Vietnam yang berada dalam kelas tersendiri dengan persiapan rapi menghadapi pusingan kelayakan terakhir Piala Dunia Qatar 2022, Cheng Hoe tidak mahu memandang pandang rendah kemampuan Indonesia (175) dan Kemboja (178) dalam mengejar kedudukan dua teratas kumpulan untuk mara ke separuh akhir.

“Kita melihat Vietnam sebagai pilihan kumpulan, tetapi yang penting kita hadapi satu perlawanan pada satu masa. Pada masa sama, kita tak fokus kepada Vietnam sahaja, tapi juga Indonesia yang merupakan musuh tradisi kita.

“Kemboja pun kita tidak boleh diambil mudah, kerana ada pemain yang berbakat selain Laos, kita perlu fokus setiap perlawanan,” katanya menerusi video yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Terdahulu dalam undian diadakan secara dalam talian, pasukan ranking ke-154 dunia dan naib juara 2018, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos (186).

Kumpulan A pula dibarisi pasukan paling berjaya dengan lima gelaran Thailand (122), Myanmar (146), Filipina (125), Singapura (160) dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei (190) dan Timor-Leste (194).

Mengulas mengenai format pertandingan kali ini yang bakal diadakan secara karnival di satu venue berpusat yang belum diputuskan akibat pandemik COVID-19, Cheng Hoe mengakui persiapan perlu lebih mantap kerana tiada aksi di gelanggang sendiri.

“Jika format (edisi) 2018, memang satu motivasi buat pemain kerana ada dua aksi (peringkat kumpulan) di laman sendiri dan di gelanggang lawan. Walaupun kali ini secara karnival, kita perlu fokus dalam setiap perlawanan dan persiapan pasukan,” katanya.

Beliau berkata menjelang baki dua bulan sebelum kejohanan bermula, barisan jurulatih akan terus memantau pemain dan prestasi mereka bersama kelab masing-masing pada kempen Piala Malaysia 2021, selain dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada awal bulan hadapan.

“Pada masa sama kita juga perlu melihat persiapan pasukan negara-negara lain. Kita harap pemain yang dipanggil pada edisi kali ini, akan dapat juga memberi sumbangan terbaik untuk skuad kebangsaan,” katanya.

Pada edisi lepas, Malaysia berjaya menewaskan Kemboja 1-0, Laos 3-1 dan Myanmar 3-0, namun tewas 0-2 kepada Vietnam pada aksi Kumpulan A, sebelum mengatasi Thailand di separuh akhir mengikut peraturan gol di tempat lawan, apabila terikat 0-0 di Bukit Jalil dan seri 2-2 di Bangkok.

Namun, skuad Harimau Malaya tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam dalam aksi final, selepas mengikat skuad Naga Emas itu 2-2 di Bukit Jalil dan terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 di Hanoi.

Malaysia hanya pernah menjulang piala itu sekali pada 2010 di bawah kendalian Datuk K. Rajagopal sejak kejohanan dwitahunan itu bermula pada 1996 dan menjadi naib juara sebanyak tiga kali pada 1996, 2014 dan 2018.

Hanya empat negara pernah merangkul kejuaraan itu dengan Thailand muncul juara paling banyak pada 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016, diikuti Singapura dengan empat kejuaraan (1998, 2004, 2007 dan 2012) dan Vietnam (2008 dan 2018).

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)