Jangan politikkan belanjawan berkaitan KPWKM – Hannah Yeoh

Jangan politikkan belanjawan berkaitan KPWKM – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR,. Peruntukan membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia adalah untuk kebaikan mereka yang memerlukan terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), kata Timbalan Menterinya Hannah Yeoh.

Beliau turut menyatakan kekesalan apabila sebilangan Ahli Parlimen pembangkang mengundi tidak bersetuju pada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya Selasa lepas.

“Untuk kali pertama ada ahli parlimen tidak setuju dengan bajet KPWKM. Bajet ini termasuk bajet kementerian untuk kebajikan bagi Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak, ia penting untuk masyarakat.

“Ia tidak boleh tergendala, saya terkejut ada Ahli Parlimen yang memainkan isu politik untuk mengundi tidak setuju dengan bajet kebajikan ini. Kalau ingin main politik, main di tempat lain tapi jangan usik bajet golongan memerlukan,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Khamis.

Katanya, Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan perkara itu perlu menjawab kepada pengundi di kawasan mereka kerana beliau yakin ada penerima yang memperolehi manfaat dan bantuan kebajikan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat di kawasan berkenaan.

Pada 26 Nov lepas, pengundian bagi RUU itu agak terlewat disebabkan beberapa Ahli Parlimen tidak berada di dalam dewan semasa Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan supaya pengundian dibuat.

Kelewatan itu mencetuskan pertikaman lidah antara Ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan, bagaimanapun kesudahannya, rang undang-undang itu diluluskan dengan 45 menyokong dan 28 orang menolak.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)