JAS Perak siasat dalang buang bahan sisa klinikal, lakukan pembakaran terbuka di Ipoh

JAS Perak siasat dalang buang bahan sisa klinikal, lakukan pembakaran terbuka di Ipoh

IPOH,. Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sedang menyiasat dan mengesan secara terperinci pihak yang membuang sisa klinikal dan melakukan pembakaran terbuka di Kawasan Perindustrian Pengkalan 1 di sini, Ahad lepas.

Pengarahnya Rosli Zul berkata siasatan awal mendapat sisa klinikal itu dibuang pihak tidak bertangunggjawab di tempat yang tidak dibenarkan oleh JAS negeri.

“Setakat ini, kita mengetahui syarikat bahan buangan klinikal yang beroperasi di Perak melibatkan syarikat konsesi yang dilantik Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanpun, perkara ini masih dalam siasatan JAS,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri Perak Tahun 2021 yang dirasmikan Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin di sini, semalam.

Ahad lepas, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri berkata kebakaran yang berlaku pada kira-kira 10 malam itu membabitkan sisa klinikal yang dibuang tanpa pengawasan dan bantuan daripada JAS diperlukan bagi memantau dan mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata kerja-kerja pembersihan dan pembaikan akibat aktiviti kuari yang telah mencemarkan Hutan Simpan Segari Melintang, dekat Manjung sudah dilaksanakan dan sehingga kini ia sudah 70 peratus siap.

“Usaha itu dilaksanakan untuk memastikan ia boleh kembali kepada keadaan asal. Ia tidak seperti kita memusnahkan begitu cepat tetapi apabila baik pulih ia mengambil masa. Usaha itu dipantau pihak JAS setiap dua minggu sekali,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, JAS negeri mengesahkan pihak yang menjalankan aktiviti kuari sehingga merosakkan kawasan Air Terjun Tanjung Batu Segari telah melanggar syarat Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang telah ditetapkan.

Pihak terbabit boleh dikenakan penalti mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana melaksanakan aktiviti kuari tanpa mematuhi komitmen dibuat pihak pemaju seperti dalam syarat kelulusan EIA pada 2017.

Menurut Rosli, syarikat sama juga dikesan menceroboh rizab sungai di situ ketika melakukan aktiviti kuari, selain membuang sisa kayu ke dalam sungai sehingga menjejaskan alam sekitar.

Seminar dua hari itu menarik kira-kira 500 peserta, diadakan bertujuan menyampaikan maklumat dan memberi pemahaman terhadap Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 secara menyeluruh dan berterusan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )