Jasa, pengorbanan Wan Mokhtar sentiasa dikenang rakyat Terengganu

Jasa, pengorbanan Wan Mokhtar sentiasa dikenang rakyat Terengganu

KUALA TERENGGANU,. Jasa dan pengorbanan bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang menghembuskan nafas terakhirnya pagi semalam, pasti akan sentiasa dikenang oleh segenap lapisan masyarakat terutama rakyat di negeri ini.

Selama 25 tahun mentadbir Terengganu bermula 1974 hingga 1999, Wan Mokhtar, 88, amat dikenali sebagai pemimpin yang menekankan kepentingan pendidikan sebagai salah satu jalan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Bagi tujuan itu antara inisiatif yang diambil Allahyarham ialah memperkenalkan pemberian insentif wang tunai kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah sebagai galakan buat anak-anak Terengganu untuk terus menempa kejayaan.

Pemberian insentif tersebut terus diamalkan oleh pentadbiran negeri hingga kini yang diperluaskan kepada lebih ramai pelajar cemerlang di negeri ini.

Bekas menteri besar yang paling lama berkhidmat itu juga dikenali sebagai pemimpin yang sentiasa mengutamakan agenda-agenda pembangunan dan penyebaran pendidikan Islam.

Sebagai bukti, Allahyarham adalah antara individu yang bertanggungjawab menubuhkan Yayasan Islam Terengganu pada 1974 sebagai berperanan membantu sesiapa sahaja atau pertubuhan yang ingin menyebarkan dan mengembangkan agama Islam.

Selain itu Allahyarham juga berjaya menubuhkan Yayasan Pembangunan Keluarga pada 1986 yang antara lain berperanan menyediakan pusat perkhidmatan penjagaan, pengasuhan dan perkembangan awal kanak-kanak, serta menyediakan pinjaman modal dan kemudahan untuk meningkatkan pendapatan bagi keluarga berpendapatan rendah.

Perjalanan bekas guru Bahasa Inggeris itu dalam dunia politik bermula pada 1963 dengan terlibat secara aktif dalam UMNO dan seterusnya menjadi Ahli Parlimen Kemaman setelah memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-2 pada 1964.

Lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir itu terus cemerlang dalam arena politik dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai pada PRU ke-4 pada 1974 dan seterusnya diberi mandat sebagai menteri besar.

Sepanjang memegang tampuk pemerintahan negeri, Allahyarham membawa banyak pembangunan prasarana seperti jalan raya dan kemudahan elektrik terutama ke kawasan luar bandar.

Selain itu Allahyarham turut memegang jawatan sebagai antara Ahli Lembaga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dari 1973 hingga 1976.

Dalam pada itu Wan Mokhtar turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Sukan Terengganu selama setahun pada 1980 dan menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu selama 17 tahun bermula 1980.

Meskipun tidak lagi menjadi menteri besar, ternyata khidmat dan sumbangannya masih lagi diperlukan apabila Allahyarham dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi bagi tempoh 2000 hingga 2005.

Wan Mokhtar meninggal dunia pada 6.20 pagi tadi di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur, akibat komplikasi jantung.

Allahyarham meninggalkan lima orang anak termasuk Wan Abdul Hakim yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan negeri ADUN Air Putih.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)