Jawatankuasa khas ditubuhkan, pastikan bekalan makanan mencukupi

Jawatankuasa khas ditubuhkan, pastikan bekalan makanan mencukupi

PUTRAJAYA, 24 Mac — Sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan ditubuhkan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain MITI, jawatankuasa berkenaan akan turut melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menurutnya, jawatankuasa ini akan membincangkan pelbagai aspek antaranya rantaian makanan dan penghantaran bahan mentah kepada pengguna.

“Jawatankuasa ini bukan sahaja bincang dari segi bekalan makanan tetapi daripada rantaian makanan,  misalnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan pastikan ikan, sayur dan sebagainya boleh diperolehi.

Malah mereka juga akan pastikan bahan makanan dikeluarkan boleh dihantar…jawatankuasa ini akan pastikan konsep dari ladang kepada pengguna ini berterusan dan tidak terganggu,” katanya yang juga Menteri Pertahanan pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri kanan berhubung PKP di sini, hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)