Jawatankuasa khas pantau pergerakan Baht – PM Thailand

BANGKOK,. Satu jawatankuasa khas akan memantau secara teliti pergerakan Baht selepas ia melonjak ke paras tertinggi berbanding dolar AS dalam tempoh enam tahun pada Isnin lepas namun susut pada Khamis berikutan pemulihan mudah tunai pasaran.

Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan-o-cha berkata jawatankuasa itu dianggotai oleh Kementerian Kewangan, Bank of Thailand (BoT) dan Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan (NESDB).

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet pada Khamis, beliau berkata jawatankuasa terbabit akan turut mengenal pasti kaedah bagi memperlahankan peningkatan mata wang berkenaan.

Isnin lepas, Baht mencecah paras tertinggi dalam tempoh enam tahun pada 29.88 berbanding dolar AS tetapi susut ke paras 30.18 pada awal pagi ini iaitu lebih lemah daripada nilai purata 30.12 Baht berbanding dolar AS.

Pasaran ditutup pada Selasa dan Rabu bersempena cuti umum tahun baharu.

Sementara itu, BoT yang juga bank pusat negara itu berkata Baht lemah pada Khamis berikutan peningkatan semula mudah tunai pasaran.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Gabenornya, Vachira Arromdee berkata baht juga diunjur kekal tidak menentu selagi pasaran melaksanakan pelarasan.

Berikutan itu, bank pusat tersebut akan turut memantau pergerakan Baht secara teliti.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )