Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adakan prosiding pertama kes kekecohan di KLIA

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adakan prosiding pertama kes kekecohan di KLIA

KUALA LUMPUR,. Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen ke-15 pada Isnin mengadakan prosiding pertama berhubung kekecohan membabitkan seorang warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akhir Jun lepas.

Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan memaklumkan prosiding tersebut menyentuh isu kekangan pengendalian proses Notis Penolakan Masuk (NTL) serta masalah bagi pelancong yang dikenakan notis NTL, aduan orang awam mengenai proses NTL dan cadangan penambahbaikan undang-undang selain sistem sedia ada.

Kenyataan itu menyebut prosiding berkenaan, yang dipengerusikan oleh Leong Jee Keeng (PH-Selayang), telah memanggil wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) untuk memberi penerangan.

Bagaimanapun, MOTAC tidak dapat menghantar wakil dan Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, selain mempunyai komitmen yang tidak dapat dielakkan telah dinasihati oleh peguam bahawa sebarang kenyataan tidak sesuai dikeluarkan kerana insiden itu masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu prosiding ini tidak akan menyentuh mana-mana siasatan jenayah yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau PDRM, justeru tidak wujud pertindihan siasatan antara jawatankuasa tersebut dan SPRM atau PDRM.

“Adalah menjadi keperluan MOTAC hadir untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa ini mengenai isu-isu berkaitan pengendalian proses NTL serta masalah bagi pelancong yang dikenakan notis NTL pada mesyuarat yang akan ditetapkan kelak,” katanya.

Menurut jawatankuasa itu, wakil MATTA yang hadir memberi penerangan ialah Presidennya iaitu Nigel Wong, bekas Presiden Datuk Tan Kok Liang, Pengurus Besar Maziah Mihat, Exco Kerja Khas Datuk Hamzah Rahmat serta Naib Presiden Penyelidikan dan Teknologi Mohd Hizzat Mohd Shah.

Kenyataan itu menyebut prosiding berikutnya dijadualkan pada Rabu ini dan akan dibahagi kepada dua sesi iaitu penerangan daripada Kementerian Pengangkutan serta Malaysia Airports Holding yang disusuli oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen.

Pada 29 Jun lepas, kekecohan berlaku di KLIA membabitkan orang kenamaan yang dikatakan cuba ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )