JDT capai persetujuan tandatangani Nathaniel Shio Hong Wan

JDT capai persetujuan tandatangani Nathaniel Shio Hong Wan

JOHOR BAHRU,. Juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) mencapai persetujuan untuk menandatangani pemain kacukan Malaysia, Nathaniel Shio Hong Wan dari kelab Wolverhampton Wanderers.

Perkara berkenaan diumum Pengarah Teknikal Kelab Bola Sepak JDT Alistair Edwards menerusi laman Facebook JDT, JOHOR Southern Tigers, malam ini.

“Perjanjian ini tertakluk kepada kejayaan permohonan kerakyatan Malaysia beliau (Shio) dan akan bermula apabila kontrak semasa beliau tamat pada bulan Jun,” kata Edwards menerusi laman berkenaan.

Shio, 20, bermain di posisi tengah merupakan pemain kacukan China-Malaysia, namun memegang kewarganegaraan British.

Beliau mula beraksi untuk skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Wolverhampton Wanderers pada Julai 2019 dan kontraknya dijangka tamat pada Jun ini.

Sebelum disahkan bersama JDT, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga pernah dilaporkan bersedia ‘meminang’ Shio bagi memperkukuhkan skuad Harimau Malaya.

Shio yang juga merupakan bekas pemain divisyen lima England Yeovil Town FC tidak menolak kemungkinan untuk menyarung jersi negara suatu hari nanti.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)