JDT dan Sri Pahang FC sekadar seri 2-2

JDT dan Sri Pahang FC sekadar seri 2-2

ISKANDAR PUTERI,. Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya mampu memungut satu mata selepas seri 2-2 dengan Sri Pahang FC dalam aksi kesembilan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Penyerang berbisa Bergson Gustavo Silveira Da Silva meletakkan Skuad Harimau Selatan di depan menerusi jaringan pada minit ke-17 selepas menerima hantaran Fernando Martin Forestieri.

Skuad Tok Gajah berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi rembatan Mohamad Saiful Jamaluddin dari luar kotak penalti pada minit ke-38.

Pahang kemudian menambah jaringan menerusi sepakan penalti Manuel Federico Hidalgo Gasparini pada minit ke-42 selepas Mahmoud Saleem Mahmoud Za’tara dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Shahrul Mohd Saad daripada JDT.

Bersambung babak kedua, ketika perlawanan dilihat berpihak kepada Pahang, JDT dihadiahkan sepakan penalti setelah pengadil ternampak tolakan oleh Hasnul Zaim Zafri ketika bersaing dengan Bergson dalam kotak penalti.

Walaupun penjaga gol Pahang Mamadou Samassa cuba mengganggu tumpuan Bergson, pemain berasal dari Brazil itu berjaya menjaringkan gol penalti bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-88.

Jaringan itu meletakkan keseluruhan sembilan gol diledak Bergson dalam saingan Liga Super setakat ini.
Keputusan kekal 2-2 sehingga tiupan wisel penamat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)