JDT siap sedia hadapi Kedah di ‘venue baharu’

JDT siap sedia hadapi Kedah di ‘venue baharu’

ISKANDAR PUTERI,. Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah bersiap sedia menerima kunjungan Kedah di ‘venue baharu’ mereka di Stadium Sultan Ibrahim, dalam aksi pembukaan Piala Sumbangsih, di sini malam esok.

Ketua Jurulatih Skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora berkata pemainnya kini berada dalam ‘mod tempur’ dan sedia menghadapi saingan sengit daripada skuad Lang Merah yang juga Juara Piala FA musim lepas.

“Ini adalah perlawanan yang penting untuk pasukan kita memandangkan kita akan memulakan musim baharu, dan kita tidak sabar untuk memulakannya.

Sudah tentu pasukan kami mempunyai kelemahan dan kekuatan tapi saya tidak mahu bercakap mengenai kelemahan. Jika kita turun padang dengan keyakinan dan sedar hakikat bahawa JDT adalah Juara Liga, kita mampu lakukannya,” katanya pada sidang media at ibu pejabat JDT, di sini hari ini.

Turut hadir Kapten JDT, Harris Harun, Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak dan Kapten Kedah Baddrol Bakhtiar.

Dalam tempoh 95 minit perlawanan bola sepak, macam-macam boleh berlaku tetapi kami akan kekal fokus di padang,” kata jurulatih kelahiran Mexico itu.

Sementara itu, Aidil Sharin Sahak berkata pemain akan mempamerkan aksi terbaik mereka dan akan bermain bersungguh-sungguh pada perlawanan malam esok.

“Para pemain tidak sabar untuk menghadapi perlawanan malam esok dan pada saya, ia adalah satu cabaran besar buat pasukan kami untuk berdepan skuad terbaik seperti JDT.

“Apa yang pasti, kami hanya mahu berikan yang terbaik malam esok dan kita mahu mengharungi kempen musim ini dengan lebih baik. Saya dapat rasakan pemain-pemain sudah bersiap sedia,” katanya.

Pemenang aksi perlawanan malam esok, yang juga permulaan kempen Liga Malaysia (Liga M) akan mengutip tiga mata dan muncul pendahulu dalam carta kedudukan Liga Super.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )