Jenaka kejam sempena Merdeka dan Maal Hijrah
Tahun ini, Malaysia menyambut dua penanda sejarah penting secara berdekatan. Kedua-duanya meraikan kebebasan, tetapi tindak-tanduk kita bertentangan dengan semangat kebebasan yang kita raikan. Semalam, kita merayakan Hari Kemerdekaan. Hari ini, umat Islam merayakan Awal Muharram.
Awal Muharram atau Maal Hijrah bukan sahaja menandakan permulaan kalendar Islam, tetapi mengingatkan kembali peristiwa paling penting dalam sejarah Islam, iaitu peristiwa penghijrahan umat Islam dari Mekah, di mana umat Islam satu masa dulu adalah kaum minoriti yang tertindas.
Betapa pentingnya kedua-dua sambutan ini boleh dilihat apabila kita di Malaysia bertindak mengganggu urusan perniagaan selama sekurang-kurangnya 2 hari dengan mengumumkan cuti am.
Tetapi wajar ditanya, apakah sambutan perayaan yang penuh warna-warni itu mengamati semangat kebebasan dan keadilan yang mewakili kedua-dua hari tersebut. Cuba lihat tindakan kita terhadap menuju 2 hari ini. Sehari sebelum Merdeka, kita menghantar pulang seorang lelaki dan keluarganya kembali ke kandang singa.
Bagi warga Turki, Arif Komis, seorang guru sekolah (yang bagi media dikawal Erdogan juga merupakan seorang pengganas berbahaya), pengusirannya seolah-olah jenaka kejam ketika sebuah negara yang beliau harapkan akan melindunginya menyambut hari kemerdekaan.
Sementara itu, atas nama Maal Hijrah, rakyat Malaysia diperkenalkan dengan peraturan tidak masuk akal yang menafikan hak minoriti untuk berhibur, semata-mata kerana pihak yang melantik diri mereka sebagai pembela agama Islam menganggap ia bertembung sebuah hari kebesaran Islam seperti Maal Hijrah.
Seorang penyanyi warga emas dari selatan India (ya, bukan penyanyi heavy metal dengan seluar ketat yang menampakkan bentuk alat sulitnya) dipaksa menukar waktu konsertnya, hanya kerana sekerat dua ulama bergaji di Jakim menganggap sebarang bentuk hiburan semasa Maal Hijrah boleh mencemar hari kebesaran Islam.
Nasihat Jakim kemudian dituruti Puspal, agensi yang bertanggungjawab meluluskan persembahan artis luar negara.
Tindakan ini merupakan penghinaan terhadap pengorbanan umat Islam terawal yang menderita sebagai minoriti yang dianiaya di Mekah.
Selama 1,500 tahun sejak itu, umat Islam memberi penghormatan kepada kumpulan pelarian ini yang melintasi padang pasir tanah Arab untuk melarikan diri dari penganiayaan. Begitulah pentingnya Islam melihat kebebasan dan kesamaan sehinggakan tarikh penghijrahan ini menjadi asas kepada takwim Islam.
Apakah pengajaran peristiwa itu tidak dipeduli ulama Islam bergaji kita, yang mencipta peraturan aneh atas nama sensitiviti Islam?
Kerajaan kita, “pembela Islam”, disokong pula oleh ulama bergaji ini, lupa bahawa Islam adalah agama yang dibina atas pengorbanan para pelarian.
Maal Hijrah adalah gesaan persaudaraan dengan kaum minoriti, dan mengingkat umat Islam bahawa mereka juga pernah merasakan nasib menjadi minoriti.
Untuk menafikan hak kepada kumpulan minoriti untuk berhibur, kerana ia bertembung dengan dengan sebuah hari yang meraikan persaudaraan dengan minoriti, adalah bukan sahaja ironis, tetapi juga tragis.
Para ulama bergaji kita perlu mengambil pengajaran penting daripada sejarah awal Islam, apabila sekumpulan umat Islam yang dianiaya pembesar Mekah menjadi pelarian ke Habsyah, dan memohon perlindungan daripada Najashi, seorang raja beragama Kristian.
Sudah tentu ulama bergaji kita dapat memahami sikap terbuka dan murah hati, serta semangat yang membolehkan seorang raja Kristian memberikan perlindungan kepada orang yang menyebarkan sebuah agama yang mencabar pemahamannya tentang Nabi Isa.
Kini, semangat kebebasan ini diambil alih oleh sambutan Maal Hijrah yang besar-besaran tahun demi tahun setiap tahun, dan tahun ini pula, dengan cara kita memaling muka terhadap minoriti dan kumpulan pelarian di hari yang sepatutnya mengangkat golongan yang tertindas.
Abdar Rahman Koya ialah ketua pengarang FMT.
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2019/09/01/jenaka-kejam-sempena-merdeka-dan-maal-hijrah/