
Jenayah perang: Tentera Rusia dibicara di mahkamah Ukraine
KYIV: Seorang tentera Rusia yang dituduh membunuh seorang warga awam ketika pencerobohan Moscow ke atas Ukraine hadir di mahkamah di Kyiv kelmarin sebelum perbicaraan jenayah perang pertama sejak bermulanya serangan itu.
Vadim Shishimarin, 21, telah dibawa ke mahkamah bagi perbicaraan awal, dituduh membunuh seorang warga awam tidak bersenjata yang berusia 62 tahun. Video dipaparkan oleh media Ukraine menunjukkan Shishimarin, dengan kepala yang dibotakkan, memakai baju berhud kelabu dan biru serta ditempatkan dalam kandang tertuduh.
Dia mungkin berdepan dengan hukuman penjara atas sabitan dalam kes jenayah perang dan pembunuhan yang dirancangkan.
Perbicaraan menandakan satu tempoh yang ketara untuk Ukraine, di mana pasukan tentera Rusia telah dituduh membunuh beratus-ratus warga awam sejak peperangan bermula pada 24 Februari.
Shishimarin telah dituduh menembak dengan raifal automatik dari tingkap sebuah kereta, membunuh seorang warga awam bagi menghalang dia bertindak sebagai saksi kejadian rampasan kereta, menurut pendakwa raya Ukraine pada awal minggu ini.
Pendakwa raya Yaroslav Ushchapivskiy memberitahu Ukrainska Pravda yang dimiliki secara persendirian bahawa Shishimarin telah mengaku bersalah dan bersetuju untuk bekerjasama dengan siasatan.
Selepas konvoinya diserang di utara Ukraine pada 28 Februari, Shishimarin menyertai empat anggota tentera yang melarikan diri serta mencuri sebuah kereta dari luar kampung Chupakhivka, menurut Ukraine.
Warga awam itu, yang tidak dinyatakan namanya, sedang menunggang basikal di tepi jalan tidak jauh dari kediamannya ketika rompakan itu berlaku, menurut pendakwa raya.
“Salah seorang anggota tentera mengarahkan tertuduh agar membunuh seorang warga awam supaya dia tidak melaporkan perbuatan mereka,” menurut kenyataan dari pejabat pendawa raya Iryna Venediktova pada Khamis lepas.
“Lelaki tersebut meninggal dunia di tempat kejadian hanya beberapa meter dari rumahnya,” kata Venediktova.
— Agensi