Jepun sedia bekerjasama dengan Malaysia hulur bantuan kemanusiaan ke Palestin

Jepun sedia bekerjasama dengan Malaysia hulur bantuan kemanusiaan ke Palestin

TOKYO: Jepun hari ini menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam hantaran di Facebooknya Anwar berkata berkata perkara itu dinyatakan kepadanya dalam pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Jepun Fumio Kishida.

Beliau yang berada di sini untuk lawatan kerja tiga hari berkata bantuan itu meliputi aspek kesihatan, pengurusan sisa pepejal dan pembangunan semula kawasan yang musnah.

Pertemuan itu menurutnya menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara, yang meliputi bidang pelaburan, perdagangan, teknologi tinggi, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan, pembangunan keupayaan dan bakat serta pendidikan tinggi.

“Kami berdua juga turut menyentuh isu-isu lain yang menjadi kepentingan bersama termasuk konflik di Palestin yang mana saya sekali lagi menyatakan solidariti buat rakyat negara itu.

“Saya berharap agar hubungan dengan Jepun terus diperkasa sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi negara,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Selain itu Perdana Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Jepun.

Antara syarikat yang terlibat adalah IHI Corporation, Nisshin OilliO Group Ltd., Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas, dan kerajaan turut memberi jaminan bahawa Malaysia kekal sebagai pilihan dan destinasi terbaik untuk membuat pelaburan.

“Saya tegaskan bahawa Malaysia punyai kestabilan dan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi mana-mana syarikat merealisasikan pelaburan ke dalam negara,” katanya. Antara peluang pelaburan di Malaysia yang dibincangkan merangkumi industri minyak dan gas, tenaga boleh baharu, hidrogen dan amonia, industri halal dan semikonduktor.

Sehingga tahun 2023, sebanyak 2,810 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM102.11 bilion (USD29.67 bilion), menyediakan 344,120 peluang pekerjaan.

Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia untuk sembilan tahun berturut-turut dan tahun lepas jumlah dagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion (US$34.39 bilion).

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)