Jersi edisi terhad Team Malaysia semarakkan sokongan di Sukan SEA 2019

Jersi edisi terhad Team Malaysia semarakkan sokongan di Sukan SEA 2019

KUALA LUMPUR,. Penyokong sukan tanah air berpeluang menyarung jersi edisi terhad ‘Team Malaysia’, bagi menunjukkan sokongan kepada kontinjen negara pada Sukan SEA ke-30 di Filipina, yang dijadual berlangsung dari 30 Nov hingga 11 Dis ini.

Pemangku Naib Presiden Eksekutif Unifi, Moharmustaqeem Mohammed berkata Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan kerjasama Paragon Vest Sdn Bhd pada Rabu melancarkan jersi tersebut, yang merupakan versi keempat jersi Team Malaysia selaku penyokong rasmi atlet kebangsaan.

Beliau berkata jersi berkenaan adalah bagi menyokong perjuangan atlet negara pada Sukan SEA 2019 dan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Kami mahu menyatukan rakyat Malaysia untuk menyokong atlet negara di Sukan SEA. Menyarungkan jersi Team Malaysia sentiasa menjadi kebanggaan semua dan menunjukkan bahawa kita semua bersatu di bawah satu bendera,” katanya pada majlis pelancaran jersi edisi terhad berkenaan di Menara TM di sini pada Rabu.

Jersi dengan cetakan belang harimau merupakan simbol kekuatan, kuasa kepantasan dan kebanggaan negara, selain mewakili semangat penyokong yang memberikan aspirasi kepada atlet Malaysia beraksi di pentas dunia.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Moharmustaqeem bersama-sama Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam, jurulatih bawah 22 tahun negara Datuk Ong Kim Swee dan Pengurus Besar Paragon Vest Sdn Bhd Vincent Lai.

‘Jersi Edisi Terhad’ Team Malaysia itu boleh dibeli secara dalam talian melalui laman web https://www.pvestmarketing.com/ pada harga RM59.90 sehelai bermula hari ini, manakala pada 1 Dis ini, orang ramai boleh mendapatkan jersi berkenaan dengan harga RM69.90 di outlet sukan di seluruh negara.

Pada masa sama, Moharmustaqeem berkata selari dengan pelancaran jersi itu, Unifi turut mengadakan peraduan ‘Tanah Pusaka’ yang memerlukan peserta menyampaikan lagu patriotik tahun 1960-an itu secara kreatif sebagai tanda sokongan kepada atlet kebangsaan.

Untuk menyertai peraduan itu, orang ramai perlu menyiarkan video ‘Tanah Pusaka’ menerusi platform media sosial sebelum 15 Nov ini, dengan menyertakan #khabarbaik dan #unifitanahpusaka.

Lima video terbaik akan dipilih sebagai pemenang untuk memberi sokongan kepada atlet Malaysia yang bersaing di Sukan SEA 2019.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)