Jho Low mahu semua e-mel, perbualan BBM dipadam untuk lindungi “PM bos” – Saksi

Jho Low mahu semua e-mel, perbualan BBM dipadam untuk lindungi “PM bos” – Saksi

KUALA LUMPUR,. Bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam beliau menerima arahan daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk memadamkan perbualan antara mereka untuk melindungi “Bos”.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan berhubung dana 1MDB, Shahrol Azral, 49, berkata Jho Low meminta beliau memadamkan semua perbualan secara elektronik dan fizikal akibat serangan politik untuk melindungi “Bos” yang dirujuknya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Apabila ditanya oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku peguam utama Najib, saksi kesembilan pendakwaan itu bersetuju bahawa Blackberry Messenger (BBM) adalah bentuk komunikasi teks yang paling selamat pada masa itu.

“Jho Low sebelum ini memberi saya dua peranti BlackBerry, kerana dia tahu saya suka teknologi. Juga keperluan untuk komunikasi antara kami semakin meningkat pada selepas 2014 apabila dia hanya menggunakan BBM untuk mesej teks dan Skype untuk voice calls.

“Jho Low terus mengingatkan saya” kita tidak tahu siapa yang boleh kita percayai, kita perlu memastikan ia selamat untuk melindungi bos iaitu Perdana Menteri, ” kata Shahrol Azral sambil menambah Jho Low berhasrat untuk menggunakan hanya BBM kerana ia tidak boleh diintip.

Bagaimanapun, saksi itu berkata dia tidak berasa curiga terhadap keperluan Jho Low untuk memusnahkan semua bukti kerana Jho Low asyik bercakap mengenai “melindungi bos”

Terdahulu, ketika ditanya oleh Muhammad Shafee, Shahrol Azral berkata tiada satupun telefon bimbitnya diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis apabila dia dipanggil untuk disoal siasat.

Ditanya lagi sama ada dia diancam dengan tindakan sivil kerana tindakannya mengabaikan pengurusan 1MDB, Shahrol Azral menjawab “Tidak”

Bagaimanapun, pada akhir 2018, Ashwin J. Valiram, yang juga Ahli Lembaga 1MDB, menghubungi saya dan memberitahu saya bahawa dia mendapat tahu Kementerian Kewangan sedang merancang untuk mengambil tindakan terhadap pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB .. Tetapi saya tidak semak dengan kementerian, ” katanya.

Muhammad Shafee: Adakah tindakan diambil terhadap 1MDB?

Shahrol Azral: Belum lagi.

Muhammad Shafee: Mengapa belum?

Shahrol Azral: Kami tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

Muhammad Shafee: Adakah anda bimbang tentang cara anda menjawab soalan di mahkamah, bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap anda?

Shahrol Azral: Saya tidak bimbang kerana saya tahu saya bercakap benar.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )