JKKMAR setuju Garis Panduan Permohonan Lesen dipapar secara dalam talian

JKKMAR setuju Garis Panduan Permohonan Lesen dipapar secara dalam talian

KUALA LUMPUR, 25 Jun — Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) hari ini secara prinsip bersetuju dengan syor Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), supaya semua kementerian atau agensi yang bertanggungjawab mengeluarkan permit dan lesen, menerbitkan Garis Panduan Permohonan Lesen yang akan dipaparkan secara dalam talian, untuk makluman umum.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu yang dicapai pada Mesyuarat JKKMAR Siri 12 Bilangan 2 Tahun 2020, bertujuan mewujudkan mekanisme lebih telus dalam proses pengurusan permit dan lesen, meningkatkan integriti serta mengelak berlakunya rasuah.

Selain itu, bagi memantapkan proses tatatertib dalam perkhidmatan awam Muhyiddin berkata, mesyuarat secara prinsip bersetuju satu kajian komprehensif dilaksana bagi menambah baik pematuhan Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

“Menyedari keperluan mewujudkan dasar bagi menjamin integriti persekitaran digital, mesyuarat secara prinsipnya juga bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Cyber Security Malaysia, supaya satu kajian dilaksana bagi mendapatkan bukti empirikal keperluan dasar anti-rasuah digital, serta mengenal pasti keperluan perundangan berkaitan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Terdahulu Muhyiddin berkata, mesyuarat yang beliau pengerusikan itu diadakan secara sidang video, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu Perdana Menteri berkata, mesyuarat juga bersetuju meneruskan keputusan dasar yang dicapai dalam mesyuarat JKKMAR sebelum ini, antaranya mengadakan mesyuarat JKKMAR dan Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) Kebangsaan secara berkala selaras dengan Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2018.

Selain itu, memperkukuhkan akauntabiliti dan integriti ahli Parlimen melalui dasar pengisytiharan harta dan penerimaan hadiah; melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan Penilaian Risiko Rasuah (CRM) di semua kementerian atau sektor awam untuk kawalan pencegahan rasuah yang efektif.

“Memantapkan lagi sistem pencegahan rasuah di sektor swasta melalui ‘Beneficiary Ownership’ dan entiti perniagaan mengikut Garis Panduan Tatacara Mencukupi; dan meningkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam, bagi mengelak ketirisan dana awam dan menumpukan kepada isu-isu ekonomi terutamanya kos sara hidup rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata JKKMAR turut dimaklumkan mengenai Status Perisytiharan Harta Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen, seperti yang dinyatakan dalam Kod Etika Anggota Pentadbiran untuk setiap anggota pentadbiran membuat perisytiharan harta dalam tempoh tiga bulan dari tarikh mengangkat sumpah.

Katanya, kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, bagi memastikan hasrat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)