JKR pantau jalan raya Bagan Serai-Selama – exco Perak

BAGAN SERAI,. Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang memantau dan membuat kawalan di Kilometer 15, Jalan Raya Bagan Serai-Selama, selepas jalan sepanjang 1.5 kilometer itu ditutup kepada kenderaan ringan, sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri berkata ia dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku berikutan banjir yang melanda di kawasan berkenaan.

“Kenderaan ringan masih tidak dibenarkan melalui jalan raya itu kerana ia masih ditenggelami air sedalam 0.6 meter,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di sini hari ini.

Menurutnya, empat pam bergerak milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan beroperasi selama 24 jam di Kampung Matang Tengah untuk mengepam air banjir keluar.

“Kerajaan negeri memberikan bantuan RM300 secara berperingkat kepada keluarga yang tinggal di PPS itu bagi meringankan beban mangsa,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )