JKR Sabah Digerakkan Secara Pro Aktif Pantau, Perbaiki Jalan Runtuh Ekoran Hujan Lebat – Bung Moktar
KOTA KINABALU, 6 Okt – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya telah meminta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jurutera daerah untuk memantau keadaan dan mengambil tindakan jalan-jalan raya yang mengalami kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan yang terjejas akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Katanya, tindakan segera perlu diambil terutama di jalan-jalan raya yang berlaku tanah runtuh supaya penduduk tidak terjejas perhubungan mereka.
“Sekiranya jalan-jalan raya itu di bawah jagaan syarikat konsesi, mereka diminta mengambil langkah pro-aktif untuk membersihkan dan membaik-pulih runtuhan tersebut dengan kadar yang segera,” katanya di sini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, bagi kes jambatan runtuh sebagaimana yang berlaku di Kampung Melangkap Kota Belud, pihaknya telah meminta pihak jurutera daerah dan Pengarah JKR meneliti kerosakan yang berlaku.
Menurut beliau, sekiranya ia melibatkan tanggungjawab jabatan, tindakan serius akan diambil perhatian serius untuk memperbaikinya melalui peruntukan kecemasan.
Bung Moktar memberitahu, beliau juga akan melakukan lawatan ke beberapa tempat yang dilanda banjir itu untuk melihat sendiri punca berlakunya banjir kilat bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
Katanya, kerajaan juga akan menaiktaraf sistem perparitan sebagai antara langkah bagi mengatasi banjir kilat di beberapa tempat khususnya di sekitar Kota Kinabalu dan daerah yang berhampiran.
Beliau berkata, sistem perparitan yang sedia tidak mampu mengalirkan air dengan baik menyebabkan rumah-rumah di kawasan tanah rendah dinaiki air.
“Banjir yang melanda ekoran hujan lebat agak luar biasa. Selain beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu dilanda banjir kilat, beberapa daerah lain seperti di Kota Belud dan Tuaran turut mengalami banjir yang serius,” ujarnya.
Menurutnya, dengan menaiktaraf sistem perparitan ini nanti akan dapat membantu para penduduk daripada ancaman banjir kilat terutama pada setiap kali musim hujan.
Kata Bung Moktar, perbincangan dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan akan dilakukan bagi menjalinkan kerjasama untuk menangani masalah banjir kilat yang sering berlaku.
Tambah beliau, beberapa faktor lain seperti pembinaan jalan raya dan pembangunan yang lain menjadi antara punca menyumbang banjir kilat terjadi.
“Kita meminta kepada pemaju dan kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan agar dapat memastikan sistem perparitan sementara dapat dibina dan sentiasa dipantau di segi kebersihannya agar tidak berlaku halangan menyebabkan air tersekat mengalir,” katanya.
Timbalan Ketua Menteri itu menambah, keadaan ini juga menyebabkan jalan raya yang sedia ada mudah dinaiki air mengakibatkan kesukaran bagi kenderaan melaluinya.
-Umno-online