Johnson ikrar bawa Britain keluar EU pada 31 Okt

Johnson ikrar bawa Britain keluar EU pada 31 Okt

LONDON, Sept 7 — Perdana Menteri Britain Boris Johnson pada Jumaat menegaskan beliau tidak akan meminta Kesatuan Eropah (EU) menangguhkan lagi Brexit, meskipun jika dipaksa melakukannya menerusi undang-undang.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Johnson membuat kenyataan itu selepas Parlimen meluluskan rang udang-udang bertujuan menghalang Brexit tanpa sebarang perjanjian.

Perdana Menteri itu yang berikrar untuk membawa negara keluar dari EU pada 31 Oktober sama ada menerusi perjanjian atau tidak, tetap berkeras menyatakan, beliau ‘tidak akan’ meminta lanjutan tambahan dari Brussels.

Johnson yang dipetik media Britain berkata, beliau hanya terikat secara ‘teori’ oleh rang undang-undang itu diluluskan parlimen pada Jumaat. Selepas rang undang-undang itu diluluskan Parlimen, ia masih memerlukan pengesahan diraja sebelum ia benar-benar menjadi undang-undang.

Bagaimanapun, rang undang-undang itu masih membayangkan bahawa lanjutan Brexit perlu dipohon dengan pilihan raya mungkin diadakan pada November. Rang undang-undang itu dirangka bagi memaksa perdana menteri meminta tarikh akhir baharu daripada EU andai tiada sebarang persetujuan dicapai menjelang 19 Oktober depan.

Brexit sudah dua kali tertangguh disebabkan keengganan ahli parlimen Britain meluluskan perjanjian berkenaan yang dicapai antara EU dan perdana menteri ketika itu, Theresa May.

Sejak beberapa hari lalu, Perdana Menteri dilihat tertewas sehingga memaksa beliau mengusir 21 ahli parlimen kerajaan selepas mereka memberontak selain menyaksikan adiknya, Jo Johnson, meletak jawatan kerajaan.

Barisan pembangkang, Parti Buruh, Liberal Demokrat, Parti Kebangsaan Scottish dan Plaid Cymru difahamkan merancang untuk mengundi menentang atau berkecuali daripada Akta Tempoh Tetap Parlimen apabila dewan kembali bersidang pada Isnin.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)