Johor akan pantau keadaan semasa termasuk keperluan adakan PRN

JOHOR BAHRU,. Kerajaan Johor akan melihat dan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lama lagi untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan negeri yang ketika ini mempunyai majoriti yang amat tipis dengan hanya satu kerusi yang boleh membuatkan kerajaan negeri dikhuatiri bertambah tidak stabil.

“Saya sedang memantau keadaan apabila berlakunya keadaan sedemikian dengan kematian Datuk Osman Sapian (yang merupakan) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, menjadikan (kerajaan negeri) Johor tinggal satu majoriti (kerusi) sahaja.

“Maka itu, perlu saya memahami reaksi khususnya kalangan parti-parti yang bergabung untuk menubuhkan kerajaan kerana kami telah bersetuju pada 6 Jan ini, kami akan mengadakan sidang khas untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 berkenaan dengan pengundi berusia 18 tahun,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ura-ura mengenai pertemuan beliau dan Perdana Menteri dalam masa terdekat ini.

Hasni yang juga ADUN Benut, bagaimanapun mengakui kemungkinan untuk mengadakan PRN itu sedikit berbeza memandangkan situasi politik di Johor yang sedikit unik berbanding negeri lain.

“Jadi kemungkinan untuk mengadakan PRN saya kira tidak boleh disandarkan sepertimana yang berlaku di Sarawak dan Melaka.

“Hal ini kerana Johor adalah negeri yang unik dan selama tempoh hampir dua tahun ini, kami telah pun menguruskan perjalanan dewan dan telah dapat gubal beberapa dasar dan atas dasar itu, sekiranya PRN ingin diadakan kami perlu melihat kepada kemungkinan-kemungkinan yang berada di lapangan,” kata beliau, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

Susulan kematian Osman pada 21 Disember lepas, kerajaan negeri yang kini dipimpin Barisan Nasional mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), PAS (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi.

Terdahulu, Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat telah memaklumkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan susulan kekosongan kerusi DUN Kempas memandangkan kekosongan berlaku lebih tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )